China sedia tandatangan protokol zon bebas nuklear, kata Tok Mat

China sedia tandatangan protokol zon bebas nuklear, kata Tok Mat

Menteri Luar Mohamad Hassan berkata China menyatakan komitmen untuk menandatangani perjanjian itu tanpa sebarang syarat.

Mohamad Hasan ketika menghadiri Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-menteri Luar Asean. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
China bersedia menandatangani protokol berkaitan Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) sebaik sahaja semua dokumen berkaitan dimuktamadkan, kata Menteri Luar Mohamad Hasan.

“China menyatakan komitmen untuk menandatangani perjanjian itu tanpa sebarang syarat.

“Itu merupakan satu perkembangan yang sangat positif untuk Asean,” katanya.

Mohamad berkata demikian kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-menteri Luar Asean (PMC) bersama beberapa negara termasuk China, New Zealand, Australia dan Kanada, sempena Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menteri Luar China Wang Yi mengetuai delegasinya ke mesyuarat peringkat tinggi yang diadakan KLCC di sini.

Mengulas lanjut mengenai perbincangannya bersama diplomat tertinggi China, Mohamad berkata masih terdapat ruang untuk Malaysia memperkukuh hubungan dua hala dan pelbagai hala dengan China.

“Selebihnya (perbincangan) berkisar tentang isu-isu biasa hubungan dua hala dan pelbagai hala, termasuk kebebasan pelayaran dan ruang udara terbuka di Laut China Selatan, serta penghormatan terhadap Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCLOS).

“Semuanya berjalan dengan baik dan kita menjangkakan kerjasama lebih erat antara Asean dan China,” katanya.

Pada 2 Julai lalu, Mohamad dilaporkan berkata China dan Rusia menyatakan kesediaan untuk menandatangani protokol itu, manakala Amerika Syarikat masih dalam proses meneliti perjanjian berkenaan.

Perjanjian SEANWFZ, juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok ditandatangani pada Disember 1995 oleh negara anggota Asean sebagai komitmen untuk menjadikan Asia Tenggara sebuah rantau bebas daripada senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran lain.

Perjanjian itu mula dikuat kuasa pada Mac 1997.

SEANWFZ merupakan satu daripada lima Zon Bebas Senjata Nuklear (NWFZ) di dunia, manakala empat zon lain terletak di Amerika Latin dan Caribbean, Pasifik Selatan, Afrika, dan Asia Tengah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.