
Beliau berkata, pertembungan antara zaman nuklear dan zaman maklumat, didorong oleh perang siber, kecerdasan buatan dan pengkomputeran kuantum, telah mencetuskan ‘tempoh paling goyah dalam sejarah kemanusiaan’.
“Sama ada zaman ini dikenali sebagai era pasca-maklumat, revolusi pasca-industri atau zaman AI, satu perkara yang pasti – Perang Dingin mungkin sudah berakhir, tetapi senjata nuklear kini jauh lebih berbahaya berbanding dahulu,” katanya dalam ucapan pembukaan di Mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
Mohamad berkata, mekanisme pelucutan senjata nuklear semasa ‘tampaknya sedang bergelut untuk mencapai tujuannya’, khususnya dengan peperangan yang sedang berlangsung seperti konflik Rusia-Ukraine dan serangan Israel terhadap Iran baru-baru ini.
Beliau mengecam serangan Israel sebagai ‘suatu hasutan yang ketara ke arah peperangan’ dan pelanggaran undang-undang antarabangsa, dengan mengambil maklum bahawa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) tidak menemukan bukti bahawa Iran sedang membangunkan senjata nuklear
“Justeru, 30 tahun selepas ratifikasi awal perjanjian SEANWFZ, usaha menegakkan rejim pelucutan senjata nuklear dan penyekatan penyebarannya pada peringkat global kini lebih mendesak berbanding sebelum ini,” katanya.
Mohamad turut menyatakan bahawa Asean telah mencatatkan kemajuan mustahak dalam mempromosikan penggunaan teknologi nuklear bagi tujuan aman, khususnya dalam sektor pertanian, diagnostik perubatan dan keselamatan makanan, melalui kerjasama dengan IAEA.
“Bagaimanapun, di sebalik kita meraikan pencapaian-pencapaian ini, amat membimbangkan bahawa Asia Tenggara kekal sebagai satu-satunya – saya tegaskan – satu-satunya zon bebas senjata nuklear yang belum diperakui secara rasmi oleh negara-negara senjata nuklear menerusi penandatanganan dan ratifikasi protokol perjanjian itu,” tambahnya.
SEANWFZ, yang ditandatangani pada 1995 dan berkuat kuasa pada 1997, mewajibkan negara-negara anggota Asean tidak membangunkan, menghasilkan, memperoleh, memiliki atau mengawal senjata nuklear.
Perjanjian itu juga merangkumi satu protokol yang mempelawa lima negara kuasa nuklear yang diiktiraf – China, Rusia, AS, UK, dan Perancis – untuk memberi komitmen tidak akan menggunakan mahupun mengancam menggunakan senjata nuklear terhadap negara-negara anggota SEANWFZ.
Dilaporkan bahawa China dan Rusia mungkin bersedia menandatangani protokol tersebut, manakala AS dikatakan masih mengkajinya.