Persatuan penulis jumpa Saifuddin, mohon SOP rampas buku dikaji

Persatuan penulis jumpa Saifuddin, mohon SOP rampas buku dikaji

Presiden PEN Malaysia R Mahi sifat SOP sedia ada 'agak melampau' dan minta diperbaiki.

Wakil PEN Malaysia
Wakil PEN Malaysia mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bagi zahir rasa tidak puas hati SOP rampasan buku.
PUTRAJAYA:
Persatuan-persatuan penulis mengadakan pertemuan dengan Saifuddin Nasution Ismail bagi menzahirkan tidak puas hati terhadap SOP rampasan beberapa buku oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurut Presiden PEN Malaysia, R Mahi berkata, pertemuan itu berlangsung 40 minit petang tadi.

Beliau berkata, beberapa perkara disuarakan pihaknya dan antaranya meminta menteri melihat semula SOP rampasan buku yang dilihat agak melampau ‘tanpa sebarang notis dan bayaran’.

“Kami mahu SOP rampasan buku dikaji semula dan harap hasil pertemuan hari ini boleh diperbaiki lagi SOP rampasan buku pada masa hadapan,” katanya kepada FMT di lobi KDN.

Pada 26 Jun, PEN Malaysia mengecam sekeras-kerasnya rampasan buku daripada penerbit bebas Fixi oleh pegawai KDN yang telah memasuki kedai dan tanpa sebarang notis, mengambil dua buku daripada rak dan berlalu tanpa membuat bayaran.

PEN Malaysia berkata, tindakan intimidasi itu mencabul hak menerbit, menjual, dan kebebasan mendapatkan karya sastera.

PEN Malaysia menuntut pemulangan segera buku dirampas, ketelusan pihak berkuasa, dan komitmen tegas menjunjung hak kebebasan bersuara di Malaysia.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa PEN Malaysia, Suzana Ahmad berkata dalam pertemuan itu pihaknya meluahkan perasaan resah dalam kalangan penulis terhadap isi kandungan yang tidak boleh ditulis.

Beliau meminta KDN memberi penerangan secara lebih terperinci perkara isi kandungan ‘dalam buku yang tidak boleh ditulis’.

“Kalau buku diambil atau diharamkan kerana isu moraliti itu sangat besar dan umum. Kita minta KDN buat rating buku seperti filem. Ini supaya buku-buku tidak diambil sewenang-wenangnya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kolektif Seni dan Budaya, Ann Lee berkata Saifuddin turut berjanji akan ada pertemuan lagi dengan persatuan penulis bagi membincangkan SOP rampasan buku.

Beliau berkata, pertemuan berkenaan penting demi memastikan penulis juga mendapat hak sewajarnya dalam berkarya.

“Jangan terlalu menyempitkan fikiran tanpa memikirkan hak penulis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.