Malaysia komited terus rundingan walaupun AS kenakan tarif 25%

Malaysia komited terus rundingan walaupun AS kenakan tarif 25%

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata Malaysia komited mencapai penyelesaian adil dan mampan bersama AS berhubung isu tarif.

Donald Trump
Presiden AS Donald Trump berkata tarif 25% ke atas barangan Malaysia bermula 1 Ogos adalah ‘jauh lebih rendah’ daripada apa yang diperlukan untuk menghapuskan defisit dagangan Amerika Syarikat dengan Malaysia. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Malaysia tetap komited untuk terus berunding dengan Amerika Syarikat (AS) bagi mencapai perjanjian perdagangan yang ‘seimbang’ dan ‘saling menguntungkan’, walaupun Presiden Donald Trump hari ini mengumumkan tarif 25% ke atas barangan Malaysia bermula 1 Ogos.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengakui kebimbangan dibangkitkan Trump berkaitan ketidakseimbangan perdagangan dan akses pasaran, namun menegaskan langkah unilateral seperti tarif boleh mengganggu operasi perniagaan, rantaian bekalan, serta pelaburan di kedua-dua negara.

Sambil menyatakan komitmen kerajaan untuk melindungi kepentingan perniagaan, pekerja dan pengguna di Malaysia, MITI berkata Putrajaya akan mengambil ‘segala langkah perlu’ untuk mengurangkan kesan tarif berkenaan, yang lebih tinggi daripada 24% dikenakan sebelum ini.

“Kementerian akan meneruskan perbincangan dengan rakan sejawatnya di AS secara telus dan berhemah untuk menyelesaikan isu-isu tertunggak, menjelaskan skop dan implikasi tarif yang diumumkan, serta mengenal pasti ruang untuk menamatkan rundingan sedia ada secara tepat pada masanya,” menurut kenyataan itu.

“Kami percaya melalui kerjasama berterusan, kedua-dua negara boleh mencapai penyelesaian yang dapat melindungi kepentingan ekonomi dan rakyat masing-masing, di samping memastikan perdagangan dan pelaburan dua hala terus menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang mampan.”

MITI turut menekankan hubungan ekonomi jangka panjang Malaysia-AS, dengan menyatakan jumlah dagangan antara kedua-dua negara melonjak hampir 30% pada tahun 2024, kepada RM324.9 bilion (USD71.4 bilion).

AS kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan destinasi eksport utama, menjadikan kerjasama ekonomi dua hala penting untuk pekerjaan, pelaburan dan pertumbuhan mampan.

Dalam sepucuk surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini, Trump menyatakan tarif 25% terhadap barangan Malaysia adalah ‘jauh lebih rendah’ daripada apa yang diperlukan untuk menamatkan defisit perdagangan Amerika Syarikat dengan Malaysia.

Trump turut memberi amaran sebarang percubaan mengalihkan barangan melalui negara lain bagi mengelak tarif akan dikenakan kadar tarif yang lebih tinggi.

Beliau juga memberi amaran sekiranya Malaysia mengenakan tarif terhadap barangan AS sebagai tindak balas, tarif tambahan sebanyak 25% akan dikenakan oleh pihaknya.

Malaysia sebelum ini dikenakan tarif 24% ke atas sesetengah eksport ke AS, kecuali jika kedua-dua pihak dapat mencapai perjanjian sebelum tamatnya tempoh bertenang selama 90 hari yang berakhir hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.