
Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani berkata Malaysia menerusi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz telah berunding dengan negara terbabit selepas penangguhan diberikan selama 90 hari sebelum ini.

“AS beri tempoh lanjutan (rundingan) hingga 1 Ogos depan.
“Pada masa sama, mereka naikkan (kadar tarif import) daripada 24% kepada 25%. Jadi kita tunggulah dan Kabinet dijangka membincangkan isu ini, esok,” katanya.
Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif import sebanyak 25 peratus akan dikenakan terhadap Malaysia, bermula 1 Ogos ini, bagi ‘melindungi industri tempatan republik itu’ daripada tindakan disifatkannya sebagai amalan perdagangan tidak adil oleh beberapa negara.
Trump pada 2 April lalu, mengumumkan ‘tarif hari pembebasan’ yang menyaksikan kadar asal 24 peratus ke atas import dari Jepun dan 25 peratus terhadap Korea Selatan. Malaysia antara negara turut terkesan.
Bagaimanapun tarif timbal balas itu ditangguhkan pentadbiran Trump selama 90 hari bagi mengadakan rundingan bersama semua negara dagang.
Dalam sepucuk surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini, Trump menyatakan tarif 25% terhadap barangan Malaysia adalah ‘jauh lebih rendah’ daripada apa yang diperlukan untuk menamatkan defisit perdagangan Amerika Syarikat dengan Malaysia.
Trump turut memberi amaran sebarang percubaan mengalihkan barangan melalui negara lain bagi mengelak tarif akan dikenakan kadar tarif yang lebih tinggi.