
Hakim K Muniandy berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa kenyataan Isham yang dibuat pada akhir tahun 2023 menimbulkan risiko sebenar terhadap pentadbiran keadilan.
“Dakwaan pentadbiran keadilan telah terpesong atau tercemar oleh kenyataan tersebut tidak dapat diterima,” katanya.
Muniandy turut berkata dakwaan bahawa kenyataan Isham mencemarkan imej badan kehakiman juga dilihat tidak berasas.
Permohonan untuk mengenakan tindakan menghina mahkamah terhadap Isham difailkan pada 28 Disember 2023, berkaitan kenyataan yang didakwa dibuat beliau dalam satu temu bual bertajuk “Townhall for Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa” yang disiarkan pada 30 September melalui akaun Facebook Malaya Post.
Dalam afidavit difailkan bagi menyokong permohonan itu, Timbalan Pendakwa Raya Mustapha Kunyalam mendakwa Isham telah memberikan ulasan mengenai perbicaraan kes 1MDB dan SRC International melibatkan Najib, serta perjalanan rayuan akhir kes SRC di Mahkamah Persekutuan.
Isham turut didakwa menuduh Hakim Collin Lawrence Sequerah dan Nazlan Ghazali bersikap berat sebelah serta sepatutnya menarik diri daripada mendengar kes-kes berkenaan.
Hakim Sequerah kini mengetuai perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi, manakala Hakim Nazlan merupakan hakim yang mensabitkan Najib dalam kes SRC.
Kedua-duanya kini berkhidmat di Mahkamah Rayuan.
Mustapha juga mendakwa Isham telah menyatakan panel lima hakim yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, yang mendengar rayuan akhir Najib dalam kes SRC, telah mengadili kes itu secara tidak adil.
Menurut afidavit tersebut, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Isham boleh menjejaskan keyakinan orang awam terhadap badan kehakiman dan boleh dianggap sebagai satu bentuk campur tangan terhadap pentadbiran keadilan.
Muniandy memutuskan Peguam Negara gagal membuktikan kes itu mengikut kehendak undang-undang, sambil menambah kritikan Isham terhadap pelbagai keputusan mahkamah masih berada dalam batas munasabah.
Beliau berkata undang-undang berkaitan hina mahkamah bukan bertujuan melindungi hakim atau maruah mereka, sebaliknya memastikan pentadbiran keadilan tidak terganggu.
“Sebagai hakim, kita mesti kekal teguh dalam menghadapi cabaran dan kritikan, kerana neraca keadilan tidak boleh dipengaruhi oleh tekanan luar,” katanya.
Beliau menambah ketika menyampaikan keputusan, hakim bukan sahaja memutuskan kes, tetapi turut memperkukuh keyakinan orang awam terhadap badan kehakiman, membuktikan dalam situasi yang paling sarat emosi sekalipun, pencarian kebenaran dan pengamalan undang-undang tetap boleh dan mesti ditegakkan.
“Cara paling berkesan bagi badan kehakiman untuk menangkis kritikan tidak berasas dan mempertahankan integritinya daripada serangan tidak beretika adalah dengan mengeluarkan penghakiman yang benar-benar adil, saksama dan berpaksikan prinsip undang-undang,” katanya.
Muniandy turut berkata walaupun Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memberikan kebebasan bersuara, hak itu bukan bersifat mutlak dan datang bersama had tertentu, termasuk berkaitan hina mahkamah.
“Walaupun kebebasan bersuara adalah asas kepada demokrasi, pelaksanaannya mesti menghormati fungsi penting badan kehakiman.
“Namun, (proses menghina mahkamah) seharusnya hanya digunakan apabila wujud risiko sebenar yang boleh menjejaskan pentadbiran keadilan,” katanya