Hassan beri amaran kepada Ahli Parlimen PKR berhubung desakan RCI

Hassan beri amaran kepada Ahli Parlimen PKR berhubung desakan RCI

Ahli Parlimen Pasir Gudang gesa pertimbangan teliti terhadap implikasi politik susulan tuntutan 9 wakil rakyat diketuai Rafizi.

hassan
Hassan Karim mempersoalkan sama ada sembilan Ahli Parlimen PKR terbabit benar mempertimbangkan implikasi jangka panjang tindakan mereka.
PETALING JAYA:
Seorang wakil rakyat kerajaan memberi amaran berhubung kesan kepada sembilan Ahli Parlimen PKR yang menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pelantikan kehakiman dan dakwaan campur tangan dalam institusi kehakiman.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata kumpulan diketuai Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli itu juga perlu mempertimbangkan implikasi politik penubuhan RCI.

Menurutnya, tekanan mungkin dikenakan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan.

Beliau mempersoalkan sama ada Ahli Parlimen terbabit telah mempertimbangkan secara menyeluruh kesan jangka panjang tindakan mereka, dan sama ada ia didorong oleh idealisme reformasi yang tulen atau kepentingan politik peribadi.

“Tindakan mereka bersifat progresif, radikal, dan mendapat sokongan rakyat. Tetapi ia datang dengan risiko,” katanya dalam kenyataan.

“Adakah mereka bersedia untuk melihat kerajaan tumbang kerana isu ini? Jika ya, maka jelas bahawa satu pemberontakan sedang berlaku dalam PKR.

“Ini adalah bentuk pemberontakan dalaman secara langsung terhadap Anwar, selaku presiden PKR dan perdana menteri. Perkara seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini.”

Semalam, Rafizi bersama lapan lagi Ahli Parlimen PKR menggesa penubuhan RCI serta satu sesi pendengaran oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, susulan kelewatan dalam pelantikan jawatan kehakiman tertinggi termasuk ketua hakim negara, yang menurut mereka telah mencetuskan krisis perlembagaan.

Kebimbangan tersebut timbul menjelang persaraan wajib ketua hakim negara sebelum ini, Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim, minggu lalu.

Walaupun masih belum jelas siapa yang akan dilantik ke dua jawatan tertinggi itu, Hakim Besar Malaya, Hasnah Hashim kini memangku jawatan ketua hakim negara, manakala Hakim Mahkamah Persekutuan, Zabariah Yusof dilantik sebagai pemangku presiden Mahkamah Rayuan.

Pejabat Peguam Negara hari ini menyatakan sebarang dakwaan wujudnya krisis adalah tidak berasas dan proses pelantikan berjalan selaras Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.