
Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh membenarkan permohonan Rosmah, 74, selaku plaintif terhadap Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, yang gagal memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman itu pada tarikh ditetapkan.
Ketika membaca keputusan dalam prosiding taksiran ganti rugi dibuat dalam talian Zoom, Shahrir berkata, plaintif berjaya membuktikan kelayakannya untuk menerima ganti rugi akibat fitnah itu.
“Selepas mempertimbangkan semua perkara, mahkamah ini berpendapat jumlah keseluruhan RM100,000 penilaian yang adil dan seimbang,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata RM100,000 itu merangkumi ganti rugi am dan teruk, manakala tuntutan bagi ganti rugi teladan tidak dibenarkan kerana tiada keterangan kukuh dikemukakan bagi menyokong pemberian itu.
Rosmah memfailkan saman itu pada 19 Sept 2023 mendakwa Ku Muhammad Hilmie memuat naik satu rakaman video di akaun TikToknya yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar terhadap plaintif pada 22 Mac 2023.
Rosmah mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau melakukan perbuatan berdosa, dikaitkan dengan aktiviti membabitkan syaitan, bomoh serta seorang individu yang jahat dan mengamalkan perbuatan syirik.
Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu memprejudis reputasinya selain dipandang serong orang awam, dicemuh dan dihina serta mencemarkan reputasinya selaku figura dikenali masyarakat.
Justeru, beliau antara lain menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta perintah yang dianggap sesuai oleh mahkamah.