
Pertuduhan terhadap K Nagentherah, 39, dibacakan di hadapan Majistret M S Arunjothy, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan, Nagentherah didakwa membunuh K Kumaran, 44, di tepi jalan di Taman Intan Baiduri, Sentul pada 9.23 malam, 25 Mei lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Mohd Yunus Daud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 10 Sept ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.
Sebelum ini media melaporkan, seorang pengawal keselamatan maut akibat ditetak dalam satu pergaduhan dengan rakannya yang berpunca daripada salah faham.