Wacana kunci perjuang kepentingan warga Asean

Wacana kunci perjuang kepentingan warga Asean

Mesyuarat dan persidangan berkala antara negara anggota dengan rakan dialog bantu perkukuh keamanan serta membawa kemakmuran kepada rantau ini.

asean summit
Seperti tahun sebelumnya mesyuarat Asean dan rakan dialog di Kuala Lumpur minggu depan akan menjadi platform meredakan ketegangan, pertingkat hubungan perdagangan serta mengukuhkan kerjasama demi kesejahteraan rakyat rantau ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Apabila 10 menteri luar Asean bertemu di Kuala Lumpur dari 8 hingga 11 Julai bersama rakan dialog mereka, perhimpunan tahunan itu kemungkinan besar dilihat sebagai acara sederhana.

Seperti pertemuan sama tahun sebelumnya, tidak banyak berita sensasi yang akan dilaporkan, jika ada.

Namun, keputusan dan perjanjian dimeterai dalam tempoh empat hari itu akan memberi kesan besar kepada pelbagai aspek kehidupan seharian.

Bagi diplomat Rafael Daerr dan felo penyelidik Joel Ng, perkara itu sahaja sudah cukup menunjukkan betapa pentingnya peranan Mesyuarat Menteri Luar Asean dan Pasca Persidangan Menteri dalam memperjuangkan kepentingan rantau ini di peringkat global.

Mesyuarat diadakan Asean dengan setiap rakan dialog, bawah format Asean+1, bertujuan melancarkan aliran barangan keperluan, memastikan tindak balas pantas terhadap krisis, dan mempertingkat pengurusan ketegangan sebelum ia memuncak — faktor yang memberi kesan kepada setiap warganegara di 10 negara anggota.

Mesyuarat tahun ini bersama China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat (AS), Rusia, Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom (UK) dan Kanada juga tidak akan berbeza.

Melalui Asean+1, negara anggota blok ini kerap berinteraksi dengan rakan dialog dalam pelbagai isu seperti perdagangan, tenaga, kesihatan, bantuan bencana dan lain-lain.

Kerjasama ini, di peringkat pelbagai hala dan dua hala membantu Asia Tenggara kekal stabil, dan kestabilan itu seterusnya membawa kemakmuran.

Kesan harian

Daripada terlibat dalam acara yang penuh drama, delegasi ke persidangan ini memastikan urusan sebenar dilaksanakan.

Menteri luar berkumpul untuk membincangkan perjanjian penting sebelum ketua kerajaan masing-masing bertemu dalam Sidang Kemuncak Asean yang dijadualkan berlangsung Oktober tahun ini.

Ketika itulah perjanjian baharu untuk kerjasama dan kolaborasi akan disahkan secara rasmi yang bakal mencorak hala tuju Asia Tenggara sehingga sidang kemuncak akan datang.

Perjanjian itu mempengaruhi bagaimana rantau ini bertindak balas terhadap kejutan makanan, gangguan rantaian bekalan, ketidakstabilan tenaga, dan kecemasan kesihatan.

Ia juga memperkukuh keupayaan Asean untuk menggubal peraturan dalam bidang baharu seperti keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) dan peralihan kepada tenaga bersih.

Sumbangan setiap rakan

Setiap rakan dialog membawa sesuatu yang berbeza ke meja rundingan. Contohnya, EU dan Jepun menawarkan kepakaran kewangan dan teknikal yang menyokong projek grid tenaga di seluruh Asean.

Ini selain daripada bantuan dalam membangunkan rangkaian pengangkutan serantau dan infrastruktur bandar pintar Asean.

Inisiatif ini bukan sahaja memenuhi keperluan kerajaan, malah membantu memperbaiki mobiliti rakyat, operasi perniagaan, dan akses isi rumah kepada sumber tenaga yang stabil.

Kerjasama rapat dengan AS pula membantu melancarkan aliran peralatan dan bekalan perubatan amat diperlukan, termasuk vaksin ketika pandemik Covid-19.

AS juga adalah rakan pertahanan dan ekonomi yang lama bagi Asean, dengan memberikan sokongan kepada latihan maritim, memperkukuh keupayaan ketenteraan, selain menjadi rakan dagang utama serta sumber pelaburan langsung asing (FDI).

China, rakan dagang terbesar Asean, juga memainkan peranan sama penting. Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas Asean-China dinaik taraf buat kali ketiga tahun ini bawah kepengerusian Malaysia dalam blok tersebut.

Pengurangan ketara terhadap tarif dan halangan bukan tarif ke atas ribuan produk Asia Tenggara telah membuka jalan ke pasaran China.

Pelaburan China dalam sektor pengangkutan dan pembuatan turut merangsang penciptaan pekerjaan dalam sektor utama seperti elektronik dan pertanian.

Gambaran keseluruhan

Asean meraih banyak manfaat daripada kerjasama sebegini. Misalnya, kepercayaan yang terjalin melalui perkongsian itu membantu mengurangkan ketegangan demi keamanan dan kemakmuran.

Dengan kehadiran di meja rundingan, Asean memperoleh kelebihan untuk mempengaruhi agenda demi kepentingan rantau ini, sama ada mengimbangi hubungan AS-China atau bekerjasama dengan EU dalam menetapkan piawaian digital.

Daerr, duta EU ke Malaysia, melihat Eropah dan Asia Tenggara sebagai rakan yang ‘sehaluan’ dalam usaha mengurangkan kesan perang perdagangan AS-China.

Kedua-dua pihak bekerjasama untuk menyokong peraturan perdagangan global dan memperkukuh daya tahan ekonomi tanpa terlalu bergantung kepada AS atau China.

“EU juga sedang merundingkan perjanjian perdagangan dua hala dengan negara Asean secara individu, yang lebih menguntungkan kedua-dua pihak kerana keperluan setiap negara boleh dipenuhi dengan lebih mudah,” katanya kepada FMT.

Fokus kepada masa depan

Melalui hubungan ini, Asean sedang membentuk masa depannya sendiri untuk menjadi rantau yang aman, stabil, dan berdaya tahan, berteraskan rakyat serta berpandangan jauh, selaras pelan induk jangka panjang Wawasan Komuniti Asean 2045.

Walaupun Asean mungkin tidak memperoleh semua yang diinginkan, ia tidak mempunyai pilihan selain meneruskan usaha sebegini dalam menghadapi cabaran rentas sempadan kini dan akan datang, seperti kelembapan ekonomi global, jenayah rentas negara dan perubahan iklim.

Cabaran kewangan, teknikal dan penyelarasan adalah terlalu besar untuk ditangani sesebuah negara secara bersendirian. Seperti ditegaskan Daerr, ini menunjukkan betapa pentingnya Asean dan EU saling menganggap satu sama lain sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai.

“Kunci untuk membina kepercayaan adalah dialog,” katanya. Sehubungan itu, beliau berkata EU berusaha meningkatkan libat urus peringkat tertinggi dengan Asean menjelang ulang tahun ke-50 hubungan Asean-EU.

Kesimpulan

Sudah tentu, bukan semuanya berjalan lancar. Situasi di Myanmar dan pertikaian wilayah di Laut China Selatan terus menjadi ‘titik panas’, manakala pembangunan tidak seimbang di seluruh rantau ini boleh memperlahankan kemajuan.

Namun, dialog boleh membantu mencegah keadaan menjadi lebih buruk.

Seperti dinyatakan Ng dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Singapura, mengelakkan konfrontasi, konflik dan persaingan melampau adalah asas kewujudan Asean.

“Ia mungkin kelihatan tidak penting sekarang, tetapi dalam gambaran besar atau ketika berlaku krisis, ia adalah segalanya,” katanya kepada FMT.

Ketika ketidaktentuan melanda, pertemuan seperti ini antara negara anggota Asean dan rakan dialog mampu membuka jalan kepada peluang serta membantu menempuh cabaran.

Sebagai pengerusi Asean tahun ini, Malaysia berada pada kedudukan untuk menerajui hala tuju tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.