Umno perlu persiap pemimpin berwibawa, mampu satukan rakyat

Umno perlu persiap pemimpin berwibawa, mampu satukan rakyat

Pengundi mahu pemimpin berpengetahuan, bersifat terbuka, telus serta mempunyai integriti dan kredibiliti, kata Naib Presiden Johari Abdul Ghani.

Umno perlu terima hakikat meraih majoriti kukuh bukan mudah kerana pengundi punyai ideologi berbeza-beza, kata Naib Presiden Johari Abdul Ghani.
SEREMBAN:
Umno perlu mempersiapkan pemimpin berwibawa, berprinsip dan diyakini, yang mampu menyatukan rakyat pelbagai kaum seperti yang diharapkan pengundi hari ini.

Naib Presiden Johari Abdul Ghani berkata harapan pengundi khususnya golongan muda sangat tinggi terhadap pemimpin yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi bersifat terbuka, telus serta mempunyai integriti dan kredibiliti.

“Apa lagi mereka (pengundi) mahukan… mereka mahu pemimpin mempunyai pengetahuan dalam negara dan luar negara, beri komitmen dalam soal alam sekitar dan hutan belantara.

“Ini adalah hakikat, harapan pengundi muda sangat tinggi… mereka mahu pemimpin berwibawa, berprinsip, dia nak pemimpin yang boleh dipercayai… pemimpin yang boleh meningkatkan silaturahim semua kaum,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Seremban.

Johari berkata Umno perlu bersikap lebih dinamik dan terbuka khususnya dalam landskap politik negara yang semakin mencabar untuk kekal relevan.

“Umno perlu menerima hakikat bahawa untuk meraih majoriti kukuh bukan mudah kerana pengundi mempunyai ideologi yang berbeza-beza.

“Jangan ingat hanya kita yang berkuasa, ada dalam keadaan perlu berkongsi kuasa, kita perlu terima hakikat dunia hari ini sudah berubah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.