Taklimat wakil rakyat isu letupan gas Putra Heights esok

Taklimat wakil rakyat isu letupan gas Putra Heights esok

Sesi penerangan akan dilaksanakan jawatankuasa siasatan teknikal antaranya membabitkan polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Polis berkata tiada unsur sabotaj, perbuatan khianat atau kecuaian dikenal pasti sebagai punca letupan paip gas di Putra Heights 1 April lalu.
KLANG:
Sesi taklimat khas kepada semua Ahli Parlimen dan Adun Selangor berhubung isu letupan saluran paip gas di Putra Heights akan dilaksanakan selepas persidangan DUN hari pertama selesai esok.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata sesi penerangan itu akan dilaksanakan jawatankuasa siasatan teknikal antaranya membabitkan pihak polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Taklimat itu dibuat selepas persidangan DUN esok (selesai) kerana banyak urusannya berbentuk teknikal. Selepas itu ia akan dibawa (dibahaskan) dalam persidangan tersebut.

“(Tujuan ia dilaksanakan) supaya mereka (wakil rakyat) faham aspek yang sebenar dan tidak mempunyai persepsi tertentu,” katanya kepada pemberita selepas Kempen Bebas Plastik Siri 2 2025 di Laman Seni Safari.

Turut hadir Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin.

Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Selangor Kelima Belas Tahun 2025 akan bersidang bermula esok hingga 18 Julai.

Pada 30 Jun lalu, ketua polis Selangor pada sidang media khas laporan siasatan insiden kebakaran Putra Heights dilaporkan berkata tiada unsur sabotaj, perbuatan khianat atau kecuaian dikenal pasti sebagai punca kejadian letupan paip gas bawah tanah milik Petronas di Putra Heights di Subang Jaya pada 1 April.

Susulan laporan itu, kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti laporan siasatan lengkap insiden berkenaan serta mencadangkan langkah susulan sewajarnya.

Jawatankuasa berkenaan akan merangkumi pandangan pelbagai pihak termasuk peranan kerajaan persekutuan, khususnya dalam aspek pengurusan bencana serta penjelasan kepada umum mengenai kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.