
Sumber itu memberitahu FMT, ia termasuk tujuh kerusi di kawasan majoriti Melayu dan tiga di kawasan majoriti Melanau.
PBB ialah parti dominan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan memiliki kerusi paling banyak (47) dalam DUN ketika ini.
Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan diperuntukkan tiga kerusi baharu: satu di kawasan majoriti Cina dan dua di kawasan campuran Cina-Iban.
Parti Rakyat Sarawak (PRS) pula akan diperuntukkan dua kerusi di kawasan majoriti Iban, manakala Parti Demokratik Progresif (PDP) bakal mendapat dua kerusi di kawasan majoriti Bidayuh dan Orang Ulu.
Menurut sumber itu, antara kerusi baharu majoriti Melayu mungkin diwujudkan untuk PBB ialah Sejinjang (Santubong), Serapi dan Semarak (Petra Jaya), Bukit Kemuyang (Sibu) serta Permaisuri (Miri).
Kawasan majoriti Melanau yang dijangkakan ialah Susur Jambu (Sarikei) dan Oya (Mukah).
Bagi SUPP, kerusi majoriti Cina dijangka ialah Seladah (Bandar Kuching), manakala kerusi campuran termasuk Tanahmas (Lanang) dan Sungai Merah (Sibu).
Kerusi majoriti Iban yang mungkin diperuntukkan kepada PRS ialah Bukit Arip (Selangau) dan Melekun (Kapit).
Dua lagi kerusi – Tabau dan Tudan di Miri, juga boleh termasuk dalam kawasan majoriti Iban, walaupun peruntukan mungkin berbeza-beza.
Kerusi Bidayuh dan Orang Ulu dijangka ialah Jagoi (Mas Gading), Sungai Serin (Serian) serta Usun Apau (Baram).
Sumber itu mendakwa, persempadanan semula kawasan PRN lebih kepada memperkukuh penguasaan GPS berbanding memastikan perwakilan seimbang.
“Melihat kepada pecahan kerusi dicadangkan, jelas matlamatnya ialah mengukuhkan penguasaan GPS.”
Sarawak mempunyai 82 kerusi DUN dan 31 Parlimen. Terdapat desakan semakin meningkat untuk Sabah dan Sarawak diperuntukkan satu pertiga kerusi di Parlimen bagi mencerminkan keseimbangan ketika Malaysia dibentuk.