PAS tak kejar jawatan PM, kata naib presiden

PAS tak kejar jawatan PM, kata naib presiden

Idris Ahmad berkata pemimpin PAS kekal komited memperkukuh parti dan memastikan PN menunjukkan prestasi lebih baik daripada PH.

Idris Ahmad
Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata parti itu tidak mengejar atau tidak pernah melobi jawatan perdana menteri.
PETALING JAYA:
PAS tidak mengejar jawatan perdana menteri atau melobi jawatan tertinggi kerajaan, kata Naib Presidennya, Idris Ahmad.

Beliau berkata, budaya parti sentiasa berpandukan rendah hati dan memfokuskan perkhidmatan, bukan bercita-cita untuk berkuasa.

“Kita tidak kejar jawatan itu sehingga mahu berebut, hendak lobi, itu bukan prinsip PAS,” katanya dalam transkrip diterbitkan Utusan Malaysia.

Menjelang Muktamar PAS September ini, Idris berkata, pemimpin parti mengelak berkempen atau mendapatkan sokongan untuk jawatan dalaman.

“Saya pergi rasmi mana-mana kawasan setiap minggu di Dungun, Mersing, kemudian di Iskandar Puteri, tetapi sepatah pun kita tidak sebut tentang pertandingan.

“Kita hanya sebut arahan kita adalah perkuat dan perkukuhkan parti. Kalau PAS buat begitu, subuh lagi sudah kalah.”

November lalu, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin dilaporkan berkata, parti itu perlu memimpin Perikatan Nasional berdasarkan kekuatan di Parlimen dan jentera akar umbinya.

Secara tradisinya, pengerusi PN dianggap calon perdana menteri gabungan itu.

Pemimpin Gerakan dan Bersatu secara terbuka menyatakan Muhyiddin Yassin kekal calon tunggal PN untuk jawatan itu.

Idris berkata, apa yang penting bagi PAS ialah membantu PN menunjukkan prestasi lebih baik daripada Pakatan Harapan, bukannya berebut siapa yang patut menjadi perdana menteri.

“Pelantikan perdana menteri ini kena lihat (nama) dipersembahkan kepada Agong. Hendak bincang tentang perkara ini pun kita kena ada konsensus dalam PN.

“(Biar) Kita menang dulu, kemudian siapa layak, ambillah. Sebab jawatan perdana menteri itu bukan rebutan PAS.”

Katanya, pendekatan ini berakar umbi dalam gaya kepimpinan Presiden PAS, Hadi Awang yang pernah menolak bertanding kerusi DUN di Terengganu pada PRU14 walaupun didesak menerajui negeri itu.

“Beliau (Hadi) tetap kata tidak mahu, tetapi cadang seorang boleh bertanding, iaitu Ahmad Samsuri Mokhtar (menteri besar Terengganu). Pada waktu itu, Samsuri adalah pengarah pilihan raya dan dia pun tidak tahu (akan) bertanding DUN.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.