
Wisma Putra berkata, Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang bekerjasama dengan Jabatan Konsular Kementerian dan pihak berkuasa Indonesia untuk mendapatkan pengesahan.
Katanya, usaha mengesahkan identiti individu itu sedang dijalankan.
“Ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan, kedutaan kekal berkomunikasi rapat dan berterusan dengan agensi berkaitan.
“Kementerian dan kedutaan akan terus memantau keadaan dan mengekalkan hubungan dengan pihak berkuasa Indonesia,” katanya dalam kenyataan menurut Sinar Harian.
Menurutnya, kedutaan sudah berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia sejak awal lagi, yang pada mulanya memaklumkan tiada rakyat Malaysia terbabit kejadian itu.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.”
KMP Tunu Pratama Jaya membawa 12 anak kapal, 53 penumpang dan 22 kenderaan karam di Selat Bali lewat Rabu malam lalu.
Feri yang berlepas dari Pelabuhan Ketapang di Banyuwangi menuju Pelabuhan Gilimanuk di Bali itu mengeluarkan isyarat kecemasan pada 11.20 malam waktu tempatan sebelum karam pada 11.35 malam, menurut Pejabat Mencari dan Menyelamat Banyuwangi.