
Pengerusi Mais Salehuddin Saidin berkata, individu itu juga pernah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada September 2024 kerana mengajar agama tanpa tauliah.
“Ia kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, dan kes tersebut masih dalam perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah.
“Dalam kes itu, seorang individu yang juga merupakan pentadbir surau turut disiasat kerana disyaki membenarkan penceramah tersebut mengajar tanpa tauliah,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim dilaporkan berkata, pihaknya sedang menyiasat kes melibatkan penyebaran video lucah oleh seorang penceramah bebas.
Beliau berkata, siasatan dibuat susulan laporan polis yang diterima daripada seorang wanita, iaitu isteri kedua kepada lelaki berkenaan, pada 16 Jun lepas.
Menurut Mohd Iqbal, wanita itu mendakwa penceramah itu menyebarkan video hubungan intim dirinya bersama madunya serta beberapa wanita lain.
Sementara itu, Salehuddin berkata, sejak 2022, Mais menarik semula tauliah mengajar agama terhadap 35 individu atas pelbagai pelanggaran syarat, termasuk mengajar ajaran bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, terlibat dalam jenayah dan memegang jawatan politik.
“Beberapa individu juga kini digantung tauliahnya sementara siasatan dibuat menurut undang-undang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pihak masjid dan surau di Selangor serta umat Islam agar hanya menjemput penceramah yang memiliki tauliah sah Mais.
Katanya, Jais sentiasa memantau perkara itu dan tindakan undang-undang serta tatatertib sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.