
Menurut Istana Pahang, video yang disebarkan menerusi beberapa akaun TikTok itu menyalahgunakan imej Sultan Abdullah bagi tujuan penipuan serta memperdaya orang ramai.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan video itu, tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang terkandung dalam video tersebut serta melaporkannya segera kepada pihak berkuasa sekiranya menerima kandungan yang mencurigakan,” menurut hantaran yang dimuat naik di akaun rasmi Kesultanan Pahang di Facebook.
Istana Pahang turut menegaskan, Sultan Abdullah tidak mempunyai sebarang akaun media sosial dan semua kegiatan atau titah secara langsung hanya disiarkan melalui akaun Facebook sah Kesultanan Pahang yang mempunyai kira-kira 725,000 pengikut.
Platform media sosial lain seperti Instagram, TikTok, YouTube, Threads dan aplikasi X hanya menggunakan nama Kesultanan Pahang, manakala portal rasmi Istana Pahang ialah istanapahang.my.