Episod perpecahan 2015 takkan berulang, kata Pemuda PAS

Episod perpecahan 2015 takkan berulang, kata Pemuda PAS

Ketua Penerangan Pemuda Khairul Nadzir Helmi Azhar ulas cadangan Naib Presiden Mohd Amar Abdullah tanding jawatan nombor dua.

Naib Presiden Mohd Amar Abdullah dicalon tanding timbalan presiden PAS melawan penyandang Tuan Ibrahim Tuan Man.
PETALING JAYA:
Episod perpecahan PAS pada 2015 tidak akan berulang walaupun berlaku perebutan jawatan tertinggi pada pemilihan parti dijadual September.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar, berkata suasana pemilihan kali ini berbeza kerana tiada lagi ‘campur tangan’ luar.

Khairul Nadzir Helmi Azhar.
Khairul Nadzir Helmi Azhar.

“Ada beza antara pemilihan parti pada 2015 dan selepasnya. Saya yakin, pada 2015 ada pihak luar yang mencampuri urusan pemilihan PAS.

“Malah, presiden PAS sendiri pernah menyebut dalam ucapannya masa itu mengenai calon ditaja pihak luar,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas cadangan Pemuda PAS Pengkalan Chepa yang mahu Naib Presiden Mohd Amar Abdullah bertanding timbalan presiden menjelang pemilihan parti. Jawatan nombor dua itu kini disandang Tuan Ibrahim Tuan Man.

Susulan cadangan itu, Amar berkata beliau belum membuat keputusan dan akan menunggu makluman rasmi Jawatankuasa Pemilihan Pusat sama ada layak bertanding jawatan tersebut.

Jawatan timbalan presiden PAS kali terakhir dipertanding pada 2015 menyaksikan Tuan Ibrahim mengalahkan penyandang Mohamad Sabu, yang kemudian menubuhkan Amanah.

Dalam pada itu, Khairul berkata, sebarang pertembungan pada pemilihan kali ini hanya sebahagian proses demokrasi dan ia bertujuan memperkukuh PAS bukan melemahkan.

Katanya, cadangan Pemuda Pengkalan Chepa itu adalah hak sayap dan perlu dirai.

Menurutnya, walaupun sesetengah calon menerima sokongan daripada banyak kawasan, ia bukan jaminan mereka akan bertanding kerana ada juga yang menarik diri walaupun dicalonkan.

Khairil Nizam Khirudin.

Bagi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin, parti tidak pernah menghalang mana-mana jawatan dipertandingkan kerana bimbang berlaku perpecahan.

“Sebab kalau kita takut kepada perpecahan, kenapa PAS buat pemilihan setiap dua tahun, tempoh yang pendek berbanding parti lain.

“Kalau kita bimbang risiko pecah, baik PAS ambil pendekatan tangguh tempoh pemilihan lebih lama, sebagai contoh lima tahun sekali,” katanya Ahli Parlimen Jerantut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.