BRICS tawar peluang pasaran baharu kepada perniagaan Malaysia, kata PM

BRICS tawar peluang pasaran baharu kepada perniagaan Malaysia, kata PM

Anwar Ibrahim berkata mereka tidak boleh bergantung kepada pasaran tradisional semata-mata sebaliknya perlu meneroka ke pasaran baharu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada majlis makan malam dihoskan Yinson Production di Rio de Janeiro, Brazil. (Gambar Bernama)
RIO DE JANEIRO:
Syarikat Malaysia perlu bersedia meneroka pasaran baharu dan mencari peluang dagangan di luar negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam membuat gesaan ini beliau berkata, mereka tidak boleh bergantung kepada pasaran tradisional semata-mata, sebaliknya perlu meneroka ke pasaran baharu.

Menurut Anwar, platform seperti BRICS menawarkan peluang amat besar, dan memuji syarikat Malaysia seperti Petronas dan Yinson Production atas kejayaan usaha niaga mereka di Brazil.

Perdana menteri berada di sini atas jemputan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 berlangsung dari 6-7 Julai.

Malah, Anwar berkata presiden Brazil sendiri terkejut melihat syarikat Malaysia menjalankan perniagaan di negaranya.

“Saya menyebut tentang Yinson dan Petronas kepada beliau, dan peranan mereka di Brazil. Beliau terkejut dan menanyakan lebih lanjut tentang hal itu,” kata Anwar pada majlis makan malam dihoskan Yinson Production, di sini.

Turut menghadiri majlis tersebut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz dan Pengerusi Eksekutif Yinson Holdings Bhd Lim Han Weng.

Yinson, pemilik dan pengendali kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO), mempunyai tiga projek di Brazil sejak 2023, iaitu FPSO Anna Nery, FPSO Maria Quiteria dan FPSO Atlanta.

Manakala Petronas terlibat dalam aktiviti pengeluaran minyak di Brazil dan tahun lalu turut membuka stesen minyaknya di negara ini.

Anwar, yang juga menteri kewangan berkata walaupun Amerika Syarikat dan China terus menjadi pasaran dan sumber pelaburan terbesar bagi Malaysia, terdapat peluang lain melangkaui dari pasaran tersebut.

Perdana menteri berkata beliau telah meminta Tengku Zafrul untuk membantu memudahkan syarikat Malaysia menjalankan perniagaan di Brazil.

Menurutnya, Brazil bukan sahaja menunjukkan kekuatannya sebagai suara dunia ketiga, tetapi juga telah menjadi kuasa ekonomi yang penting.

Mengenai pertemuannya dengan Lula da Silva pagi ini, Anwar berkata mereka membincangkan pelbagai isu yang penting kepada kedua-dua negara.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata presiden Brazil telah menerima pelawaan beliau untuk melawat Malaysia semasa Sidang Kemuncak Asean pada Oktober depan.

“Beliau mahu membawa menteri utama dan kumpulan perniagaan ke Malaysia. Akan ada persidangan khas yang mana kami berdua akan bersama-sama berucap pada acara itu,” katanya.

Penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak itu adalah atas kapasiti sebagai negara rakan BRICS dan selaku pengerusi Asean 2025. Malaysia secara rasmi menjadi negara rakan BRICS pada 1 Jan tahun ini.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Brazil meningkat 14.6% kepada RM20.35 bilion (USD4.38 bilion) pada 2024, daripada RM17.43 bilion pada 2023. Brazil adalah salah satu rakan dagang utama Malaysia di Amerika Latin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.