
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Amran Zin berkata isu itu akan menjadi tumpuan utama pada mesyuarat Suruhanjaya SEANWFZ pada 8 Julai, yang mungkin juga termasuk perbincangan mengenai penyertaan Timor-Leste dalam perjanjian itu.
“Isu penyertaan kuasa-kuasa nuklear dalam SEANWFZ diberi perhatian sewajarnya,” katanya pada taklimat media menjelang Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean ke-58 dan Persidangan Pasca Kementerian (AFMM-PMC) dari 8 Julai hingga 11 Julai.
“Isu utama melibatkan keraguan negara kuasa nuklear terhadap protokol SEANWFZ.”
Menteri Luar Mohamad Hassan sebelum ini mengumumkan China dan Rusia bersetuju untuk menandatangani perjanjian itu, sementara AS masih mengkajinya.
Tidak seperti zon bebas nuklear lain, SEANWFZ (juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok) merangkumi daratan, pelantar benua dan zon ekonomi eksklusif, termasuk kawasan yang dipertikaikan di Laut China Selatan, dan mengandungi klausa yang memerlukan jaminan keselamatan negatif daripada kuasa-kuasa nuklear.
Penganalisis berkata perjanjian ini adalah penting ketika ketegangan semakin meningkat di Indo-Pasifik.
“Asean berpegang teguh pada SEANWFZ. Ini satu daripada enam di dunia untuk memastikan rantau ini elak membangunkan, mengeluarkan, memperoleh dan menguji senjata nuklear, atau menyimpannya,” kata Izzah Ibrahim dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) kepada FMT.
Beliau berkata Asean bekerjasama dengan Jepun dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk mengukuhkan keselamatan nuklear.
“Pengisytiharan dalam Sidang Kemuncak Asean yang lalu juga menyokong perjanjian-perjanjian, norma-norma dan institusi-institusi pengawalan melalui pelan tindakan mereka dan usaha berterusan untuk mengundang lima negara senjata nuklear untuk menandatanganinya,” katanya.
Alvin Chew, seorang felo kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam Singapura, berkata keengganan kuasa nuklear untuk menyokong SEANWFZ berpunca daripada skop geografinya yang luas.
“SEANWFZ menjadi perbalahan kerana liputan geografi yang luas meliputi kawasan yang dipertikaikan di Laut China Selatan. Liputan ke atas wilayah zon yang belum diselesaikan itu menjadikannya satu cabaran bagi negara senjata nuklear untuk menandatanganinya,” katanya.
Namun, Chew memberi amaran bahawa kegagalan untuk mendesak sekatan ke atas nuklear boleh mengundang akibat berbahaya.
“Terdapat ketegangan yang semakin meningkat di Indo-Pasifik yang boleh membawa kepada konflik nuklear jika kuasa besar tidak berhati-hati,” katanya, memberi amaran bahawa Asia Tenggara boleh terperangkap dalam pertempuran kerana terletak di antara lautan India dan Pasifik.
Pada Jun, Israel melancarkan serangan ke atas Iran susulan kebimbangan mengenai program nuklearnya, menurut laporan. Pakar PBB mengutuk serangan itu sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa yang jelas, yang melarang serangan mencegah berdasarkan syak mengenai aktiviti nuklear.
Penggunaan dwi teknologi
Memandangkan lebih banyak negara Asia Tenggara mempertimbangkan tenaga nuklear untuk kegunaan awam, perlindungan adalah penting untuk mengelakkan sebarang penyalahgunaan bahan nuklear.
“IAEA satu-satunya organisasi antarabangsa yang diberi kuasa untuk melaksanakan langkah-langkah perlindungan ke atas kemudahan nuklear awam,” kata Chew.
Perlindungan ini memastikan bahan nuklear tidak dialihkan untuk dijadikan senjata dengan memantau pengayaan uranium dan pengekstrakan plutonium, namun teknologi nuklear yang lebih baru menimbulkan cabaran baharu.
“Kebanyakan teknologi reaktor termaju, di mana bahan api akan dimuatkan secara ‘online’ (ketika reaktor menjana tenaga) sepanjang operasi, menjadikannya mencabar bagi IAEA untuk mengira simpanan bahan nuklear,” tambahnya.
“Oleh itu, IAEA perlu membangunkan langkah-langkah perlindungan untuk reaktor canggih ini sebelum ia boleh digunakan di rantau ini.”