
Himpunan diadakan susulan pelbagai isu didakwa semakin menekan rakyat termasuk peningkatan kos sara hidup dan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai lalu.
Peserta mula berkumpul sejak 8 pagi sambil dipantau polis dilihat membawa sepanduk dan plakad antaranya bertulis ‘Turun Anwar’, ‘Rakyat Susah’, dan ‘Rakyat Terbeban’.
Antara yang hadir Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid, Naib Ketua Pemuda PAS Muhammad Hanif Jamaluddin, Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar, Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohd Kamal Mohamad, bekas pemimpin PKR Ezam Mohd Nor dan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia Mohammad Azamuddin Sahar.
Dalam sidang media, Hanif berkata program hari ini adalah prahimpunan menjelang kemuncak ‘Himpunan Turun Anwar’ dijadualkan di Dataran Merdeka 26 Julai ini.
Katanya, selain NGO pemimpin politik dijangka menyertai himpunan akhir bulan ini termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, pemimpin Perikatan Nasional (PN) diketuai Muhyiddin Yassin serta Presiden PAS Hadi Awang.
Sementara itu, Ezam mendakwa rakyat kecewa dengan kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana janji dibuat semasa menjadi pembangkang gagal ditunaikan apabila beliau menerajui kerajaan.
“Dulu cakap berdegar-degar, nak turun harga minyak. Sekarang bila berkuasa, tak buat. Kita bukan nak bertempur dengan pihak berkuasa, bukan nak bertempur dengan polis. Kita nak suarakan perasaan kepada pemerintah.
“Dulu orang biasa sahaja yang marah, sekarang orang kaya pun marah. Mereka semua kena cukai.”