
Selain mempunyai jutaan pengikut di media sosial, bintang kelahiran Klang yang mula menceburi bidang seni sebagai model iklan itu juga mengendalikan audio siar sendiri iaitu ‘Studio Sembang’.
Sedar dirinya sering menjadi tumpuan dan enggan sekadar mengejar glamor, Amelia yang membintangi filem antaranya Talentime, J2: J Retribusi, Pulau dan Blood Brothers: Bara Naga mengajak peminatnya mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersukan.
Anak sulung daripada dua beradik itu kini meminati pickleball iaitu sejenis sukan raket menggabungkan elemen tenis, ping pong serta badminton yang sedang berkembang dalam negara.

“Saya memang tak minat sangat ke gimnasium sebab ia buat saya tertekan. Tapi bila main pickleball saya rasa seronok, boleh berpeluh dan bersosial…tanpa sedar sebenarnya saya tengah bersenam,” kata pemenang tempat kedua Miss Asia Pasific 2013 kepada FMT.
Minat Amelia terhadap sukan bukan secara tiba-tiba kerana dia pernah menjadi pengacara untuk program sukan di saluran Astro SuperSport selain turut membuat liputan kejohanan tenis bertaraf dunia – US Open 2022.
Berpandukan minat itu, Amelia yang memulakan kerjaya lakonan dengan membintangi sitkom Keluarga Adam, tidak berfikir panjang dan membuat keputusan mengusahakan gelanggang pickleball bersama empat rakan kongsi termasuk adik lelakinya.
Terletak di kawasan hijau tersembunyi di Sentul, Kuala Lumpur, Amelia menyifatkan Pickle Depot sebagai ‘oasis di tengah kota’.

“Bila saya jejak kaki ke sini, saya nampak potensi besar bukan saja untuk perniagaan, tapi untuk bina komuniti yang sihat dan aktif,” katanya yang popular menerusi drama Jangan Benci Cintaku ditayangkan pada 2018.
Amelia berharap Pickle Depot akan menjadi pilihan orang ramai untuk ‘lari sekejap’ daripada hiruk-pikuk kota dan sebagai terapi bagi mereka yang bergelut dengan tekanan seharian.