Ibu pejabat PN tutup sejak Mac, kata orang dalam

Ibu pejabat PN tutup sejak Mac, kata orang dalam

Tun Faisal Ismail Aziz dari Bersatu nafi Majlis Tertinggi PN belum mesyuarat tahun ini dan minta pertanyaan mengenai pejabat di Publika diaju kepada Azmin Ali.

Mont Kiara
Timbul dakwaan pejabat Perikatan Nasional di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, tidak lagi berfungsi.
PETALING JAYA:
Ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) di kawasan elit Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, dikatakan ditutup sejak Mac.

Menurut sumber parti, PN berhenti membayar sewa pejabat itu, yang sebelum ini menjadi lokasi mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan sejak ia ditubuhkan pada 2020.

Ketika ditanya mengenai perkara itu Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata soalan berkenaan seharusnya diajukan kepada Setiausaha Agung PN, Azmin Ali.

“Perkara itu berkaitan isu pentadbiran. Anda boleh rujuk kepada Azmin untuk maklumat lanjut,” katanya kepada FMT.

FMT menghubungi Azmin dan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, untuk mendapatkan komen.

Tun Faisal menafikan satu lagi dakwaan oleh sumber parti bahawa tiada mesyuarat pimpinan tertinggi PN diadakan sejak rombakan kepimpinan tahun lalu akibat ‘ketegangan dalaman’.

Beliau berkata, Majlis Tertinggi PN bersidang sekurang-kurangnya dua kali tahun ini.

“Ada mesyuarat kepimpinan sebelum PRK Ayer Kuning (pada April) dan juga ketika Radzi Jidin dilantik sebagai ketua penerangan PN,” katanya.

Sumber itu turut mendakwa, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, dan Azmin cuba mengelak daripada memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi kerana tekanan daripada PAS untuk merombak struktur kepimpinan gabungan.

PAS dikatakan mahu semua presiden parti komponen PN melepaskan jawatan eksekutif masing-masing dan membentuk sebuah majlis penasihat sebagai ganti.

Bawah cadangan itu, Ketua Pembangkang merangkap Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, akan dilantik sebagai pengerusi PN manakala timbalannya ialah salah seorang daripada timbalan presiden parti komponen dalam gabungan.

Minggu lalu, Utusan Malaysia memetik Hamzah menafikan dakwaan beliau sedang berusaha menggulingkan Muhyiddin sebagai presiden Bersatu. Hamzah juga menyifatkan khabar angin itu sebagai ‘cerita karut’ disebarkan pihak luar yang mahu memecahbelahkan Bersatu dan PN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.