
Kementerian Luar Bangladesh dalam kenyataan memaklumkan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur segera menghubungi pihak berkuasa Malaysia bagi mendapatkan identiti individu terlibat serta maklumat lanjut berhubung pertuduhan.
Menurut kenyataan itu, lima daripada mereka telah didakwa di mahkamah Malaysia, manakala selebihnya masih dalam siasatan atau proses pengusiran.
Kementerian turut menegaskan pendirian tegas Bangladesh dalam menentang sebarang bentuk keganasan, ekstremisme dan militansi, selain komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa Malaysia dalam menangani ancaman tersebut.
Semalam, Ketua Polis Negara Khalid Ismail dilaporkan berkata kegiatan kumpulan GMRB dikesan melalui pemantauan akaun media sosial yang dikendalikan oleh warga Bangladesh menggunakan alamat IP di Malaysia bagi menyebarkan ideologi kumpulan militan IS.
Menurut beliau, hasil operasi bersepadu tiga fasa antara April hingga Jun lalu, seramai 36 ahli GMRB termasuk ketua kumpulan berjaya ditahan, sekali gus melumpuhkan rangkaian mereka yang beroperasi dari Johor.
Daripada jumlah tersebut, lima individu didakwa mengikut Seksyen 6A Kanun Keseksaan, manakala 16 lagi ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) untuk siasatan lanjut.