TNB berdepan bil cukai RM5 bilion susulan keputusan Mahkamah Persekutuan

TNB berdepan bil cukai RM5 bilion susulan keputusan Mahkamah Persekutuan

Jumlah itu adalah sebahagian daripada penilaian cukai tambahan RM9.25 bilion yang dikeluarkan LHDN.

tnb building
Pada Rabu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa TNB adalah syarikat utiliti dan bukan pembuatan yang melayakkannya menuntut elaun pelaburan semula.
PETALING JAYA:
Syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Bhd berdepan bil cukai RM5.05 bilion berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa ia tidak layak untuk menuntut elaun pelaburan semula.

Memetik laporan tahunan 2024 TNB, The Edge melaporkan hari ini bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengeluarkan penilaian cukai tambahan RM9.25 bilion kepada syarikat itu.

Bagaimanapun, penalti RM2.44 bilion telah diketepikan melalui penyelesaian.

“TNB membayar RM1.76 bilion pada Disember 2020, menjadikan anggaran RM5.05 bilion masih belum dijelaskan,” tambah laporan portal kewangan itu.

Semalam, dilaporkan bahawa saham TNB menjunam sehari selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan berhubung pertikaian cukai korporat terbesar dalam sejarah negara, mengakibatkan kerugian lebih RM3 bilion dalam permodalan pasarannya.

Sahamnya jatuh sebanyak 74 sen, atau lebih 5%, ke paras terendah sejak 3 Jun, dengan kaunter ditutup pada RM14.02.

Pada Rabu, mahkamah tertinggi membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati syarikat utiliti itu menjalankan perniagaan pembuatan elektrik.

Ia berkata TNB sepatutnya dianggap sebagai syarikat utiliti di bawah Jadual 7B Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP).

Pertikaian itu timbul apabila LHDN tidak membenarkan tuntutan TNB di bawah Jadual 7A ACP atas dasar penjanaan, pengagihan dan penghantaran elektrik bukan merupakan pengilangan elektrik.

TNB juga berhujah bahawa ia hanya penyedia perkhidmatan.

Pada 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman TNB untuk mengetepikan penilaian cukai RM1.8 bilion LHDN bagi 2018.

Dua tahun kemudian, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi. TNB telah pun membayar jumlah tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.