
Beliau berkata, jumlah peletakan jawatan semasa masih di bawah ambang perlembagaan bagi pembubaran, yang memerlukan sekurang-kurangnya dua pertiga ahli jawatankuasa meletak jawatan. Menurutnya, jumlah sebenar bergantung kepada saiz cawangan.
“Perlembagaan parti dengan jelas menetapkan syaratnya dan selagi tidak dipenuhi, struktur itu kekal utuh,” katanya kepada FMT.
Memetik cawangan Lenggong sebagai contoh, beliau berkata, 15 daripada 31 ahli jawatankuasa di cawangan itu meletak jawatan.
“Seramai 21 ahli perlu meletak jawatan untuk cawangan itu dibubarkan.”
Ahmad Nizam Noh yang tewas dalam pemilihan jawatan ketua cawangan dilaporkan membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, walaupun kebanyakan ahli pasukannya memenangi jawatan dalam jawatankuasa. Semua 15 ahli daripada pasukannya meletak jawatan tanda protes.
Keadaan sama berlaku di Selayang, dengan beberapa pemimpin Pemuda meletak jawatan selepas sekutu mereka tewas dalam pemilihan bahagian baru-baru ini.
Walaupun parti mengambil serius setiap peletakan jawatan, Fuziah berkata, ahli perlu menggunakan saluran dalaman untuk menyelesaikan pertikaian.
Katanya, pucuk pimpinan parti sedang memantau perkembangan semasa dan terus komited mengekalkan disiplin serta kestabilan parti.
“Mungkin ada pihak cuba menggugat atau memburukkan parti dari dalam atau luar, tetapi kami kekal fokus.”