
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, harga komoditi lebih tinggi, terutamanya minyak sawit mentah, yang disokong oleh permintaan global yang baik menjadi tonggak pemacu pertumbuhan prestasi perdagangan negeri itu.
Eksport utama seperti minyak sawit, gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah kekal kukuh sehingga memacu pertumbuhan perdagangan.
“Pada 2024, Sarawak mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM198.7 bilion, menandakan peningkatan 2.7% berbanding 2023. Imbangan perdagangan turut berkembang 4.2% kepada RM71.1 bilion.
“Kedua-dua eksport dan import menunjukkan trend menaik, eksport berkembang sebanyak 3.1% kepada RM134.9 bilion manakala import melonjak 1.9% kepada RM63.8 bilion,” kata Mohd Uzir dalam kenyataan.
Jepun, China, Korea Selatan, Semenanjung Malaysia dan India adalah lima destinasi eksport utama Sarawak.
Tahun lepas, Jepun dan China merupakan destinasi eksport utama untuk Sarawak, menyumbang 35.1% daripada jumlah eksport negara bernilai RM47.3 bilion.
Eksport ke Jepun mencapai RM29.1 bilion, kenaikan sebanyak 1.4 % dari tahun ke tahun. Produk utama eksport ke Jepun adalah LNG bernilai RM25.4 bilion, diikuti oleh produk kayu-kayan pada paras RM1.4 bilion serta produk besi dan keluli pada RM0.8 bilion.
Eksport ke China adalah sebanyak RM18.2 bilion, menyumbang 13.5% daripada jumlah eksport Sarawak, menurun 1.7% atau RM0.3 bilion berbanding tahun sebelumnya.
LNG kekal sebagai produk eksport utama ke China mencecah paras RM13.5 bilion, diikuti oleh produk logam buatan pada RM1.1 bilion, manakala produk minyak sawit dan produk kelapa sawit pada RM0.9 bilion.