
Pelantikan timbalan presiden PKR itu diumumkan sempena sambutan ulang tahun ke-10 agensi kerajaan negeri itu semalam.
Menurut kenyataan Sidec, pelantikan Nurul Izzah berdasarkan kapasitinya sebagai pengerusi eksekutif badan pemikir baharu, Polity.
Pelantikan itu bertujuan membawa wawasan bernilai dalam dasar awam, pembangunan sosioekonomi dan pemerkasaan digital.
Turut dilantik sebagai penasihat strategik, bekas naib presiden Nvidia Corp dan Foxconn Lai Yit Loong dan Pengarah Foxconn Chiang Shang-Yi.
Kedua-kedua tokoh itu akan menumpukan pada pembangunan bakat dan kerjasama rentas sempadan dalam bidang teknologi serta pembuatan semikonduktor, selain berkongsi pengalaman luas mereka dalam inovasi semikonduktor global dan pembangunan industri.
Menurut Sidec, pelantikan itu menandakan satu langkah strategik dalam memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab inovasi serantau dan mempercepat kemajuan ekosistem semikonduktor negara.
“Pelantikan itu juga mercu tanda strategik dalam mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai pusat inovasi serantau,” katanya dalam kenyataan.
Sidec ialah anak syarikat milik penuh Invest Selangor Berhad yang ditubuhkan bagi memacu transformasi digital negeri menerusi tiga teras utama, iaitu e-dagang, pembangunan syarikat pemula, serta bandar pintar dan digitalisasi.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, Sidec kini menjadi antara pemacu utama ekonomi digital negeri, dengan lebih 200 syarikat pemula telah menerima manfaat menerusi Selangor Accelerator Programme.
Katanya, antara pencapaian terbesar Sidec ialah pembangunan Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Pertama Malaysia di Selangor, kini menempatkan lebih 12 penyewa utama dan disokong lebih 400 jurutera tempatan serta gergasi dunia seperti ARM dan Siemens EDA.