
Menteri Nancy Shukri berkata, penyerahan bayi menerusi kaedah itu tidak diklasifikasikan sebagai kesalahan selagi tiada unsur jenayah berat membabitkan penderaan fizikal atau penglibatan dalam aktiviti seumpamanya.
“Penyerahan bayi secara selamat melalui baby hatch tidak dianggap satu kesalahan jenayah,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 1 Julai yang mengesan seorang wanita meninggalkan bayi lelaki berusia 14 hari di baby hatch Borneo Medical Centre.
Wanita itu turut meninggalkan satu botol susu dan sekeping nota bertulis ‘Izzy Haziq, Lelaki, 14 Jun 2025, pukul 11.40 malam’.
Terdahulu, pengguna media sosial mempersoalkan peranan sebenar baby hatch dan tindakan JKM mengesan wanita berkenaan yang menurut mereka tidak wajar memandangkan bayi itu ditempatkan di lokasi selamat.
Mengulas lanjut, Nancy berkata tujuan utama JKM meminta ibu kandung tampil bukan semata-mata untuk pendaftaran kelahiran atau penentuan status kewarganegaraan, sebaliknya bagi memastikan keselamatan, identiti yang sah dan hak anak tersebut dilindungi sepenuhnya.
“Bayi ditinggalkan di baby hatch perlu dikenal pasti status penjagaan, kewarganegaraan dan taraf kelahiran untuk tujuan perlindungan undang-undang. Proses ini menuntut penglibatan ibu kandung walaupun secara minimum untuk membantu siasatan dan dokumentasi oleh pihak berkuasa termasuk JKM dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya.
Bagaimanapun, Nancy berkata jika wanita tersebut enggan tampil, hak kanak-kanak untuk mempunyai identiti dijamin oleh Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), yang diratifikasi Malaysia pada 1995.
“Kerajaan melalui JKM menetapkan mekanisme yang boleh dijalankan walaupun ibu kandung enggan tampil, bagi memastikan bayi ditinggalkan tetap dilindungi, didaftarkan secara sah dan tidak menjadi kanak-kanak tanpa dokumen,” katanya.
Beliau turut menegaskan sistem ‘baby hatch’ diwujudkan untuk memastikan keselamatan bayi dan memberi pilihan selamat kepada ibu yang berada dalam keadaan terdesak.
“Segala maklumat yang dikongsi oleh ibu kandung adalah rahsia dan dilindungi undang-undang. JKM memastikan proses ini dijalankan dengan penuh hormat, beretika dan berlandaskan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak,” katanya.