
Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman itu kepada Nasruddin Mohamad, 33, yang pernah disabitkan kesalahan ugutan pada 2022, selepas mengambil kira pengakuan bersalah dan rayuan dikemukakan.
Harian Metro melaporkan mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Tertuduh tiada pekerjaan tetap itu didakwa menipu seorang guru dengan menyamar “pegawai narkotik Batu Pahat” menggunakan nama Nasruddin di Kompleks Mara Tongkang Pechah pada 3.58 petang 26 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 419 kanun sama.
Berdasarkan fakta kes, pengadu menerima panggilan daripada individu tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai Nasruddin dari pihak narkotik Batu Pahat mendakwa anak saudaranya yang juga pelajar sudah tiga kali membuat aduan dibuli.
Tertuduh kemudiannya memberitahu mahu melakukan ujian saringan air kencing ke atas empat pelajar didakwa membuli anak saudaranya.
Pengadu kemudian bertanyakan pegawai perhubungan sekolah (PPS) yang kebetulannya dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Batu Pahat, tetapi dimaklumkan tiada pegawai bernama Nasruddin di bahagian itu, sebelum diminta membuat laporan polis.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.