
Izzah Ibrahim dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia memuji komitmen Asean dalam memperkukuh keterangkuman, sejajar dengan tema tahun ini, ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

“Perkara ini dapat dilihat dalam usaha Asean memperkukuh kerjasama sedia ada dengan rakan dialog dan dalam membina hubungan baharu, seperti Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk-China yang pertama,” katanya kepada FMT.
Ahli akademik veteran Johan Saravanamuttu menyifatkan orientasi ‘Kerjasama Selatan-Selatan’ oleh Malaysia sebagai strategi yang perlu dan tepat pada masanya.
“Malaysia dalam kepimpinannya di Asean, jelas bergerak untuk menjalinkan banyak kerjasama dengan negara-negara di Selatan,” katanya, merujuk kepada negara di Asia, Oceania, Afrika dan Amerika Latin.

“Saya tidak fikir ini bermakna kita telah mengabaikan hubungan dengan negara Barat,” tambahnya.
“Namun ia menunjukkan dengan dasar-dasar Amerika di bawah Donald Trump yang sangat merugikan perdagangan serantau, Malaysia mencari peluang ekonomi dan perdagangan lain.”
Utusan khas tetap ke Myanmar
Satu lagi perkembangan penting ialah usaha Asean melantik seorang utusan khas tetap ke Myanmar
Menurut Izzah, langkah ini akan mengukuhkan kepentingan jangka panjang Asean.
“Utusan khas tetap mewujudkan konsistensi dan momentum. Ia mencerminkan komitmen berterusan tanpa perlu sentiasa memulakan semula proses dalam situasi kompleks,” katanya.
Setakat ini, Asean melantik utusan khas ke Myanmar secara bergilir setiap tahun.
Di bawah sistem Troika sedia ada, utusan semasa, terdahulu dan akan datang dikehendaki berbincang serta menyelaraskan usaha mereka bagi memastikan kesinambungan dan tanggungjawab bersama.
Pengkritik telah mengkritik model ini kerana didakwa menjejaskan kesinambungan proses damai, terutamanya kerana setiap utusan perlu mewujudkan hubungan dengan lebih 100 kumpulan etnik yang pelbagai di Myanmar dan membawa mereka ke meja rundingan.
Johan yang juga profesor adjung di Institut Asia-Eropah Universiti Malaya, turut menyifatkan kemasukan Timor-Leste ke Asean sebagai satu lagi pencapaian penting.
“Ini satu perkembangan yang baik bagi Asean,” jelasnya dengan memberi hujahan penyertaan Timor-Leste melengkapkan komuniti terbabit.
Johan mengakui ada bantahan sebelum ini terhadap penyertaan Timor-Leste dalam Asean. “Ini kerana ia sebuah negara yang sangat kecil, sangat miskin, tetapi saya rasa isu-isu itu telah diatasi.”
Harapan realistik
Namun, penganalisis berkata ada beberapa risiko boleh menguji model Asean yang berasaskan konsensus dalam separuh kedua tempoh kepengerusian Malaysia.

“Asean gabungan yang sangat pelbagai,” kata Sarah Teo, penolong profesor di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Singapura.
“Walaupun kepelbagaian ini menjadi kekuatan, ia juga mengehadkan kelancaran dan keberkesanan dalam membuat keputusan, kerjasama dan perpaduan.”
Teo dan Izzah bimbang ketegangan berterusan di sempadan Thailand-Kemboja boleh menjejaskan proses perbincangan Asean dan menyukarkan kerjasama serantau.
“Kita tidak boleh menolak kemungkinan itu sepenuhnya,” kata Izzah.
“Situasi ini masih berkembang dan tahap sebenar ketegangan mungkin hanya akan menjadi jelas kemudian. Ia juga boleh menjejaskan kekukuhan institusi dan keupayaan membuat keputusan secara konsensus, selain ketegangan dua hala.”
Teo memberi amaran kredibiliti Asean boleh terjejas sekiranya konflik itu berpanjangan atau semakin meruncing, tetapi menambah kerjasama serantau dan pelbagai hala berterusan antara kedua-dua negara memberi “sedikit harapan”.
Ketegangan meningkat
Isu Laut China Selatan juga boleh menjadi satu lagi punca ketegangan yang boleh menguji diplomasi serantau.
Dengan ketegangan semakin meningkat di Timur Tengah, Teo memberi amaran konflik berantai bukanlah sesuatu yang mustahil, sambil merujuk kepada risiko salah perhitungan semakin tinggi di Laut China Selatan.
“Laut China Selatan semakin démiliterisasi,” kata Izzah.
“Ini termasuk pemasangan alat ketenteraan China di pulau buatan, kapal tentera laut Indonesia yang mengawal ZEE (zon ekonomi eksklusif) mereka, dan Armada Ketujuh AS menjalankan operasi kebebasan navigasi dan penerbangan antara lain.”
Izzah berkata Asean mahu mengelakkan peningkatan ketegangan memandangkan kapasiti ketenteraan yang terhad dan keutamaan lama blok itu terhadap penyelesaian konflik secara diplomatik.
“Tetapi masih ada risiko salah perhitungan oleh pelaku luar rantau.
“Sebab itu Asean dan anggotanya berulang kali menyeru kepada usaha mengekang atau memberi amaran terhadap perkembangan berpotensi mencetuskan ketegangan seperti pakatan AUKUS,” katanya, merujuk kepada kerjasama keselamatan tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
Teo menggesa Asean terus memperkukuh saluran diplomatik dan dialognya.
“Kedua-dua saluran formal dan tidak formal untuk dialog dan kerjasama penting untuk mengekalkan kestabilan serantau, dan apabila perlu untuk meredakan ketegangan,” katanya.