
Agensi itu memakluman tindakan berkenaan bagi mencegah tindakan salah guna dokumen yang akhirnya menjurus kepada jenayah seperti pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.
Dalam jawapan kepada FMT, SSM berkata agensi itu mewajibkan kehadiran pemilik ke kaunter pendaftaran selain mengemukakan dokumen pengenalan diri sah seperti Myad berserta cap jari untuk pengesahan identiti secara tepat dan terjamin.
“Langkah ini bertujuan memastikan bahawa hanya individu sah, sahih dan layak sahaja boleh mendaftarkan entiti perniagaan.
“Ini sekali gus membantu mengurangkan risiko penyalahgunaan identiti, penipuan serta aktiviti jenayah lain,” katanya.
SSM mengulas pendedahan Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat, Mac lalu berhubung tindakan beberapa pempengaruh dan pengasas kosmetik tempatan berselindung di sebalik perniagaan untuk menyembunyikan kegiatan jenayah seperti pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.
Yusoff mendedahkan dalam kes pertama membabitkan tangkapan pengasas produk bersama dadah bernilai RM5 juta pada 2020, kejayaan perniagaan suspek sebenarnya dari kegiatan haram.
Kes kedua pula pada 2021 membabitkan tangkapan usahawan kosmetik bergelar Datin atas kesalahan mengedar dadah.
SSM turut mengingatkan pemilik syarikat yang mereka bertanggungjawab terhadap operasi termasuk transaksi termasuk membabitkan pelaburan luar dan kemasukan dana daripada pihak ketiga.
“Sebarang keraguan terhadap transaksi kewangan mahupun kerjasama dengan pihak ketiga yang bersifat mencurigakan hendaklah segera dirujuk kepada pihak berkuasa yang berkenaan.
“Langkah ini penting bagi mengelakkan sebarang kemungkinan penglibatan secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti yang melanggar undang-undang,” katanya.