KDN terbuka tambah baik proses mohon kad pengenalan

KDN terbuka tambah baik proses mohon kad pengenalan

Menteri KDN berkata, menjadi kewajipan KDN perbaik proses jika rakyat terkesan atas kelewatan.

saifuddin nasution
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata berkata, pihaknya hormat pendedahan EAIC berhubung kelewatan tidak wajar dalam proses mohon kad pengenalan di Sabah.
KOTA BELUD:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) terbuka untuk memperbaik proses permohonan kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) susulan pendedahan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) semalam.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau menghormati pendedahan EAIC itu dan KDN serta agensi di bawahnya amat mengutamakan keselesaan pelanggan, iaitu rakyat.

“Perlu juga saya sebutkan bahawa ada juga berlaku, permohonan daripada rakyat itu sama ada gagal ataupun ditolak terus kerana dokumen itu palsu.

“Contohnya, klinik bersalin yang sebenarnya tidak berlaku pun proses kelahiran di situ tetapi digunakan untuk mengeluarkan pengesahan kelahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat Madani KDN di SK Kampung Pangkalan Abai hari ini.

Saifuddin berkata JPN juga mempunyai piagam yang sangat jelas, pantas dan cepat tanpa kompromi dari sudut ketulenan, namun sekiranya perlu ada elemen penambahbaikan, pihaknya terbuka menambah baik proses itu.

“Apabila rakyat yang memerlukan perkhidmatan terkesan kerana proses lambat, menjadi kewajipan KDN untuk memperbaik (proses),” katanya.

Pada Rabu, media melaporkan pendedahan EAIC bahawa terdapat kelewatan tidak wajar oleh seorang pegawai penyiasat JPN Sabah dalam mengendalikan permohonan kad pengenalan baharu melibatkan seorang kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.