Industri diberi kelonggaran dalam peralihan perubahan SST, kata MoF

Industri diberi kelonggaran dalam peralihan perubahan SST, kata MoF

Pembekal perkhidmatan diberi kelonggaran mengemukakan penyata secara manual bagi tempoh bercukai dari 1 Julai hingga 30 September 2025.

supermarket
Kerajaan memahami pembekal perkhidmatan yang memerlukan masa tambahan untuk menaik taraf sistem bagi pematuhan dan pengenaan cukai, kata Kementerian Kewangan.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kewangan (MOF) bersetuju memberi kemudahan kepada pihak industri dalam tempoh peralihan perubahan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) susulan maklum balas kesukaran mematuhi semua keperluan operasi.

Dalam satu kenyataan hari ini, MOF berkata kerajaan memberi kelonggaran kepada pembekal perkhidmatan untuk mengemukakan penyata secara manual bagi tempoh bercukai dari 1 Julai hingga 30 September 2025.

“Bagaimanapun, Cukai Perkhidmatan (CP) masih wajib dikenakan dan dikutip dalam tempoh tersebut. Kerajaan Madani memahami pembekal perkhidmatan yang memerlukan masa tambahan untuk menaik taraf sistem bagi pematuhan dan pengenaan cukai,” kata MOF.

Dalam pada itu, MOF berkata pengilang yang telah berdaftar diwajibkan mengenakan dan mengutip Cukai Jualan (CJ) mulai 1 Julai, 2025 dan layak memohon pengecualian ke atas bahan mentah digunakan dalam pengilangan barang bercukai.

Selain itu, syarikat yang telah menerima pengecualian CJ melalui Jawatankuasa Pengecualian Cukai (JPC), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) sebelum 1 Julai akan terus menikmati pengecualian tersebut, tertakluk kepada tempoh dan syarat ditetapkan.

“Namun, sekiranya syarikat berkenaan mengilang barang siap bercukai selepas 1 Julai dan telah mencapai nilai ambang ditetapkan, mereka diwajibkan berdaftar sebagai pengilang berdaftar dan boleh memohon pengecualian melalui portal MySST di mysst.customs.gov.my.

“MOF berharap kemudahan ini akan terus membantu melancarkan urusan perniagaan serta memudahkan pematuhan oleh syarikat yang terlibat dalam peluasan skop SST,” katanya.

Orang awam dan para peniaga yang mahu mengetahui maklumat lanjut boleh menghubungi hotline Pusat Panggilan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di talian 1-300-888-500.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.