
Anwar berkata, beliau sedar trend ke arah penyahkarbonan hari ini menjadi tarikan dan perhatian utama.
“Namun saya fikir, kita perlu lebih realistik. Cukai karbon yang dicadangkan tidak seharusnya dilihat sebagai terlalu bermasalah yang boleh menjejaskan syarikat yang melabur,” katanya.
Anwar berkata demikian pada sesi soal jawab pada Mesyuarat Meja Bulat dengan Pemimpin Industri di Paris, Perancis pada Jumaat, lapor Bernama.
Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Luar Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Anwar berkata, cadangan itu harus dilaksanakan dengan teliti dan secara berperingkat.
“Kami sedang memuktamadkannya untuk tempoh beberapa bulan akan datang,” kata perdana menteri, yang berada di Paris sempena lawatan rasmi dua hari ke negara itu.
Tambahnya, cadangan cukai itu disasarkan terlebih dahulu terhadap sektor yang menjadi penyumbang terbesar pelepasan karbon.
Walaupun industri minyak sawit sektor penting bagi Malaysia, sebarang perladangan baharu di tanah gambut telah dihentikan kerana pelepasan karbonnya yang tinggi, katanya.
Beliau berkata, kerajaan merancang memperkenalkan cukai karbon tahun depan, khususnya disasarkan kepada industri besi, keluli dan tenaga.
“Ia sebahagian strategi jangka panjang kerajaan untuk menggalakkan penggunaan teknologi rendah karbon dan mencapai matlamat pengurangan pelepasan karbon,” katanya.