Vape wajar diharamkan di seluruh negara, tegas Sultan Pahang

Vape wajar diharamkan di seluruh negara, tegas Sultan Pahang

Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah vape memberi kesan buruk terhadap kesihatan dan masa depan generasi muda.

sultan abdullah
Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah pengharaman vape di Pahang akan melalui proses di DUN bagi penggubalan undang-undang berkaitan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sekali lagi menekankan keperluan untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape di seluruh negara.

Baginda menegaskan langkah itu memandangkan kesan buruk peranti itu terhadap kesihatan dan masa depan generasi muda, lapor Bernama.

“Vape ini patut diharamkan secara menyeluruh. Jangan rasa simpati, kita akan memudaratkan lagi bangsa kita,” titah baginda sambil menambah Pahang telah mengambil langkah awal ke arah pengharaman berkenaan.

Baginda bertitah pelaksanaan pengharaman rokok elektronik di Pahang akan melalui proses di DUN bagi penggubalan undang-undang berkaitan, sebelum dikuatkuasakan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sekarang kita dalam proses untuk memberi kefahaman kepada rakyat bahawa vape ini bahan larangan. Ia hanya tunggu masa untuk dikuatkuasakan,” titahnya.

Bulan lalu, kerajaan Pahang bersetuju mengharamkan penggunaan rokok elektronik di negeri itu berdasarkan fatwa dikeluarkan Pejabat Mufti Pahang, menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.