Sorotan separuh tahun Asean 2025: 5 peristiwa penting bawah kemudi Malaysia

Sorotan separuh tahun Asean 2025: 5 peristiwa penting bawah kemudi Malaysia

FMT melihat pencapaian Asean antara Januari dan Jun di bawah kepengerusian Kuala Lumpur.

ASEAN SUMMIT 2025
Pada Sidang Kemuncak Asean ke-46 pada Mei, pemimpin blok itu menerima pakai Wawasan Komuniti Asean 2045, pelan tindakan strategik jangka panjang untuk rantau ini.
PETALING JAYA:
Ketika Malaysia melangkah ke pertengahan kepengerusian Asean 2025, lima perkembangan penting yang melakar laluan ke depan bagi rantau ini.

Begini cara Kuala Lumpur mencetuskan impak secara halus namun ketara.

Wawasan Komuniti Asean 2045

Pada Sidang Kemuncak Asean ke-46 pada Mei, para pemimpin membentangkan Wawasan Komuniti Asean 2045 (ACV2045), dokumen untuk membimbing rantau ini mengharungi dua dekad mendatang yang penuh gangguan dan peluang.

Pengisytiharan itu menyeru Asean meningkatkan daya tahan dan memupuk permuafakatan, menyahut cabaran serantau dan global.

Setiausaha Agung Asean Kao Kim Hourn berkata wawasan itu merangkumi cabaran dan peluang yang tercetus daripada trend mega global, dan bertujuan untuk menyediakan tindak balas realistik dan strategik untuk tempoh 20 tahun akan datang.

“Sepuluh tahun lalu, di bawah kepimpinan Malaysia, pemimpin Asean menerima pakai Wawasan Komuniti Asean 2025. Tahun ini menandakan ulang tahunnya yang ke-10, dan kini, para pemimpin merencana wawasan 20 tahun, menggandakan jangka masa dan cita-cita,” katanya.

Kao berkata ACV2045 berteraskan empat teras: komuniti politik-keselamatan, komuniti ekonomi, komuniti sosiobudaya, dan kesalinghubungan Asean.

Myanmar: Langkah halus ke arah keamanan

Berikutan gempa bumi maut di Myanmar pada Mac, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan libat urus dengan junta dan tokoh pembangkang, lalu membawa kepada gencatan senjata sementara bagi memudahkan bantuan kemanusiaan.

Selepas itu, pada Sidang Kemuncak Asean ke-46, para pemimpin berbincang untuk melantik utusan khas tetap ke Myanmar, yang melangkaui sistem giliran.

Langkah ini bertujuan memastikan penglibatan berterusan dalam menangani krisis Myanmar, yang bermula pada 2021 dengan rampasan kuasa tentera dan sejak itu membawa kepada konflik meluas dan krisis kemanusiaan yang menghujam.

Thomas Daniel dari Institut Strategik & Kajian Antarabangsa (ISIS) beritahu FMT bahawa pelantikan itu menunjukkan Asean “akhirnya memahami keperluan untuk bergerak melampaui pendekatan ad hoc” dalam menangani konflik Myanmar, namun ia banyak bergantung pada bagaimana peranan utusan itu ditakrifkan.

“Asean sentiasa menunjukkan fleksibiliti antara prinsip dan pragmatisme, dan perkara yang sama juga harus diterapkan dalam cara ia mendekati Myanmar,” kata Daniel.

Sidang Kemuncak Asean-GCC-China

Di sebalik pemecahan ekonomi yang semakin meruncing, Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk-China yang pertama diadakan di Kuala Lumpur pada 27 Mei.

Anwar menyatakan keyakinan bahawa hubungan yang lebih kukuh antara wilayah dinamik ini boleh mewujudkan masa depan yang “lebih terjalin, lebih berdaya tahan dan lebih makmur”.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura beritahu FMT bahawa di sebalik perselisihan antara China dengan AS dan Barat, China semakin mendekati Asia Tenggara dan Selatan Global, kelompok yang secara tradisinya mempunyai hubungan rapat dengan Beijing.

Julia Roknifard dari Universiti Taylor berpandangan GCC menunjukkan kecenderungan pada rakan kongsi yang stabil dan bersifat jangka panjang selain AS dan Kesatuan Eropah.

Perdagangan dua hala Asean-GCC dijangka mencecah USD180 bilion menjelang 2032, manakala perdagangan Asean-China berjumlah USD696.7 bilion pada 2023.

Timor-Leste

Asean sedang mempercepatkan penyertaan Timor-Leste, dengan keahlian negeri itu dijangka dirasmikan menjelang Oktober 2025 — memperluaskan geografi blok ini selepas hampir dua dekad.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara beritahu FMT bahawa Malaysia sekian lama menyokong Timor-Leste, maka bersekali dengan komitmen Anwar pada integrasi serantau, akan membuka laluan kepada Timor-Leste.

Azmi berkata menerima Timor-Leste sebagai ahli penuh berpotensi mengukuhkan ekonomi blok ini.

Grid tenaga Asean

Inisiatif Grid Tenaga Asean (APG) yang sudah lama dibincangkan, bertujuan untuk menyepadukan prasarana elektrik serantau, semakin menghampiri realiti, apabila negara-negara anggota bersedia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang dipertingkat menjelang Oktober.

Selepas tamatnya Mesyuarat Pegawai Kanan Asean ke-43 mengenai Tenaga (SOME), Mad Zaidi Karli, ketua setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengumumkan pegawai tenaga blok itu telah pun memuktamadkan terma-terma MoU.

Semasa Dialog Tenaga Asean-EU ke-3, Duta EU ke Asean Sujiro Seam berkata inisiatif APG mencetuskan minat yang kuat daripada EU untuk memperdalam pelaburan dalam sektor tenaga rantau ini.

“Hasrat ini bukan sahaja daripada negara anggota dan institusi kewangan kami, tetapi juga daripada sektor swasta kita,” katanya dalam ucapan perasmian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.