
Kameel berkata pembangunan tidak seharusnya terhad kepada infrastruktur dan sasaran fiskal semata-mata.
Menurutnya, pengisian utama juga perlu berteraskan rakyat, kata pensyarah ekonom dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu.

Beliau berkata ada keperluan mendesak untuk Malaysia merombak sistem pendidikannya dari prasekolah hingga ke pengajian tinggi, dengan mencontohi pendekatan Jepun yang menekankan pembentukan sahsiah sejak usia awal kanak-kanak.
Beliau turut menyeru pelaburan lebih besar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM); pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), serta kemahiran digital termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Pelajar Malaysia bukan tidak berkemampuan, tetapi mereka perlukan bimbingan, nilai dan peluang betul,” katanya kepada FMT.
Kameel mengulas keputusan Kabinet untuk memberi tugas kepada Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan bagi merombak semula RMK13, yang asalnya diperkenalkan di bawah bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli.
Keputusan itu menimbulkan persoalan kerana ia dibuat menjelang pembentangan RMK13 di Parlimen pada 31 Jul depan, selain wujud kebimbangan ia akan menjejaskan kesinambungan dasar dan mencerminkan ketidaktentuan politik.
Namun, Kameel menyambut baik langkah itu dengan menyatakan pendekatan sebelum ini dalam perancangan negara terlalu sempit kerana lebih tertumpu kepada perbelanjaan projek dan peruntukan fiskal.
“Rancangan Malaysia terlalu fokus kepada projek. Rancangan yang baik mesti turut memacu perubahan tingkah laku dan melibatkan sektor swasta secara aktif dalam mencapai matlamat negara,” katanya.
Beliau menegaskan rancangan itu seharusnya mempromosikan pertumbuhan yang adil dan mampan, memastikan bajet seimbang serta memperkasa rakyat melalui pendidikan dan penjagaan kesihatan.
Ketika ditanya sama ada perubahan saat akhir ini mungkin meresahkan pelabur, Kameel berkata:
“Pelabur itu bijak dan rasional. Jika perubahan terhadap RMK13 boleh membawa hasil yang baik, kenapa pelabur perlu kisah jika ia dilakukan oleh penjawat awam?”
Walaupun mempertahankan konsep rancangan lima tahun, Kameel menekankan bahawa ia perlu bersifat dinamik dan boleh disesuaikan.
“Ia memberikan gambaran makro hala tuju kita, tetapi tidak seharusnya terlalu kaku.”
Beliau turut mencadangkan semakan dilakukan secara berkala dengan penglibatan semua pihak berkepentingan, termasuk pelabur, industri dan orang awam bagi memastikan RMK13 kekal relevan dan berkesan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Center for Market Education, Carmelo Ferlito menggesa kerajaan memberi keutamaan kepada pembaharuan yang lebih mudah daripada melaksanakan perancangan pusat yang terlalu ketat.
“Rancangan seperti ini sering berakhir sebagai senarai impian yang indah didengar,” katanya sambil memberi amaran langkah yang tidak jelas dan rumit seperti e-invois atau peluasan cukai jualan dan perkhidmatan hanya membebankan perniagaan dan pelabur.
“Lagi kurang kerajaan merancang, lagi baik. Biar rakyat merancang untuk diri mereka sendiri,” kata Ferlito.