Reman 3 suspek kes bunuh pelajar universiti Cyberjaya disambung seminggu

Reman 3 suspek kes bunuh pelajar universiti Cyberjaya disambung seminggu

Ketua Polis Sepang Norhizam Bahaman berkata tempoh reman mereka dilanjutkan sehingga 10 Julai.

sepang
Ketua Polis Sepang Norhizam Bahaman berkata Majistret Khairatul Animah Jelani membenarkan lanjutan tujuh hari daripada tempoh reman sebelum ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tempoh reman terhadap tiga suspek yang ditahan berhubung kes pembunuhan seorang pelajar universiti di Cyberjaya, disambung sehingga 10 Julai.

Ketua Polis Sepang, Norhizam Bahaman, berkata Majistret Khairatul Animah Jelani membenarkan lanjutan tujuh hari daripada tempoh reman sebelum ini.

“Mahkamah Majistret Sepang membenarkan lanjutan reman selama tujuh hari pada 4 hingga 10 Julai,” katanya dalam kenyataan.

Perintah reman sebelum ini dikeluarkan Hakim Sesyen Azaraorani Abdul Rahman pada 27 Jun, berakhir hari ini

Polis menahan ketiga-tiga mereka – seorang lelaki dan dua wanita berusia 19 dan 20 tahun – di sekitar Johor Bahru, Johor, dan Gemencheh, Negeri Sembilan, antara 9 pagi pada 26 Jun dan 2 pagi pada 27 Jun.

Norhizam sebelum ini berkata, ketiga-tiga suspek dikenali mangsa, pelajar Universiti Cyberjaya Maniishapriet Kaur Akhara, yang ditemui mati di unit kondominiumnya oleh rakannya kira-kira 10 pagi, 24 Jun lalu.

Dia tinggal di bilik itu bersama lima pelajar lain, tetapi rakan serumahnya dilaporkan pulang ke kampung halaman mereka untuk bercuti pada 21 Jun.

Bedah siasat mengenal pasti punca kematiannya akibat hentakan objek tumpul di kepala. Polis berkata tiada tanda-tanda kediamannya dipecah masuk dan dia tidak mengalami kecederaan yang konsisten dengan rogol.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan semalam berkata, suspek utama kes pembunuhan itu menggunakan kunci dan kad akses yang diberikan teman wanitanya, yang pulang ke kampung halamannya, untuk memasuki apartmen itu.

Beliau berkata suspek mengambil kesempatan terhadap mangsa yang bersendirian di apartmen sementara menunggu untuk menduduki kertas peperiksaan akhir.

Selepas didakwa menyerang dan membunuhnya, suspek yang juga penganggur itu dikatakan telah merompaknya, mengambil telefon bimbit, komputer riba dan kad ATM yang digunakannya dengan berbelanja RM200.

Polis turut menahan suspek keempat – seorang lelaki yang mengenali mangsa tetapi tinggal di blok apartmen berbeza – yang kini juga ditahan reman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.