
Armizan berkata, keputusan itu dibuat selepas sesi pertemuan syarikat itu bersama kementerian yang diadakan pada Selasa lalu, lapor Astro Awani.
“KPDN mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan untuk mendapatkan justifikasi kenaikan harga yang dirancang oleh syarikat tersebut.
“Syarikat Ramly Burger bersetuju untuk tangguh kenaikan harga barang buat sementara waktu,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Dalam pada itu, Armizan berkata syarikat pembekal ais, Sim Yang Hok Industries Sdn Bhd turut menafikan dakwaan kononnya menaikkan harga produknya daripada RM3.70 kepada RM6, kerana peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai lalu.
“Mereka menjelaskan tiada sebarang notis rasmi dikeluarkan dan telah membuat laporan polis berhubung mesej tular itu,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua syarikat itu menjelaskan bahawa sebarang cadangan kenaikan harga adalah disebabkan kos operasi dan bukan berpunca daripada pelaksanaan SST.
Armizan turut menasihati mana-mana syarikat agar berunding dengan KPDN sebelum melaksanakan kenaikan harga, bagi memastikan ia tidak melanggar undang-undang pencatutan.
Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan kononnya sebuah syarikat pengeluar air akan menaikkan harga produk daripada RM3.70 kepada RM6 untuk sebongkah air.
Manakala syarikat Ramly Burger pula didakwa akan menaikkan harga produk sebanyak 10% bermula bulan ini, susulan pelaksanaan SST.