
Mazlan Ali berkata menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu ketika ini bukan hanya terkenal di kalangan penyokong politiknya, tetapi figura berpengaruh mewakili kaum Cina secara keseluruhan.
“Untuk tawan Teluk Intan, PN kena bawa calon setanding Nga, kalaulah ada pemimpin dari Gerakan.
“Namun, politik mutakhir ini agak mencabar untuk Gerakan menyaingi DAP yang mendapat sokongan kukuh dari pengundi Cina,” kata penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia itu kepada FMT.
Baru-baru ini, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari dalam hantaran Facebook sempena mesyuarat PAS Teluk Intan berkata tidak mustahil PN menawan Parlimen itu berdasarkan gelombang perubahan rakyat dan prestasi lemah kerajaan.
DAP pernah terlepas kerusi Teluk Intan pada PRK berlangsung 2014, apabila Presiden Gerakan Mah Siew Keong ketika itu yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menewaskan calon DAP Dyana Sofya dengan majoriti 238 undi.
Bagaimanapun pada PRU14, Nga menewaskan Mah dengan majoriti 11,179 undi dan meneruskan penguasaan di kerusi itu pada pilihan raya umum berlangsung tiga tahun lalu.
Beliau menewaskan pemimpin Bersatu Zainol Fadzi Paharuddin yang mewakili PN dalam pertandingan empat penjuru.
Mazlan turut menyifatkan cita-cita PAS itu ibarat ‘angan-angan Mat Jenin’ memandangkan status kerusi campuran Parlimen itu dengan pecahan Melayu (50%), Cina (33%), dan India (17%).
Menurutnya, hampir mustahil untuk PN menawan kerusi campuran, ditambah dengan kerjasama erat parti-parti dalam kerajaan perpaduan khususnya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Jika PAS nak menang Teluk Intan, mereka perlukan undi bukan Melayu… adalah mustahil untuk mereka dapatkan undi Cina yang sangat signifikan dengan DAP,” katanya.
“PN hanya boleh menang besar jika kerusi itu mempunyai 70% pengundi Melayu seperti mana di pantai timur dan utara.”
Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata keyakinan PAS itu mungkin dengan anggapan penyokong Umno akan memboikot calon DAP dan beralih menyokong PN jika Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama pada PRU akan datang.
“PAS lihat pengundi Melayu mungkin berbelah bahagi (untuk sokong calon DAP), sebab itu disasarkan Teluk Intan,” katanya.
Seperti Mazlan, Azmi juga juga sangsi dengan kewibawaan PN di Perak yang menurutnya semakin hilang momentum sebagai pembangkang berkesan, berbanding parti dalam kerajaan perpaduan yang semakin serasi bersama.
“PN tidaklah kuat sehingga mampu tawan Teluk Intan mahupun Perak keseluruhannya.
“Persoalannya, calon untuk lawan Nga itu adalah dari PAS atau Bersatu kerana Gerakan memang tiada yang mampu tarik pengundi bukan Melayu,” katanya.