Malaysia hasrat beli aset ketenteraan dari Itali

Malaysia hasrat beli aset ketenteraan dari Itali

Ia meliputi dua pesawat pemantau maritim selain 28 helikopter, kapal sokongan logistik dan kapal peronda.

Leonardo AW149
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan hasrat Malaysia membeli aset ketenteraan daripada Itali. (Gambar Wikipedia)
ROME:
Malaysia berhasrat membeli pesawat pemantau maritim, helikopter dan kapal laut daripada Itali bagi memperkukuh keselamatan negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pembelian itu akan meliputi dua pesawat pemantau maritim untuk kegunaan tentera laut selain 28 helikopter Leonardo AW149.

Beliau berkata syarikat Fincantieri pula dijangka membekalkan kapal sokongan logistik pelbagai peranan dan kapal peronda pesisir pantai.

“Pembelian aset tentera ini akan membantu mengukuhkan hubungan sedia ada dengan Itali yang terkenal dengan industri ketenteraan,” katanya pada sidang media di akhir kunjungan tiga hari ke Itali.

Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin yang turut hadir dalam rangka lawatan itu berkata pembelian itu akan diperincikan agar Malaysia turut mendapat manfaat dari segi pemusatan latihan.

Khaled berkata pada peringkat awal, penerbangan pesawat maritim itu dijangka menggunakan lapangan terbang di Batu Berendam, Melaka.

Malaysia juga mencadangkan agar pembelian aset-aset itu dilakukan melalui perjanjian perolehan kerajaan kepada kerajaan.

“Ini akan membantu kita mendapatkan harga yang lebih baik dan jaminan aset daripada kerajaan Itali,” katanya.

Kementerian Pertahanan juga mencadangkan kedua-dua negara menerokai bidang baharu dalam sektor pertahanan antaranya kecerdasan buatan dan pusat kawalan keselamatan bawah laut.

Anwar yang tiba pada Selasa membuat kunjungan sulung ke Itali atas jemputan Perdana Menteri Giorgia Meloni.

Perdana menteri yang kini dalam rangka lawatan ke tiga negara iaitu Itali, Perancis dan Brazil akan berlepas ke Paris dan dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Emmanuel Macron semasa lawatan dua hari ke sana.

Seterusnya, Anwar akan menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 di Rio de Janeiro atas jemputan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.