
Perbincangan dua hala antara Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang dan Timbalan Menteri NEAC, Duan Yijun memfokuskan pelbagai inisiatif, termasuk pembangunan bersama modul latihan untuk mediator komuniti berasaskan pengalaman China dalam pelaksanaan Undang-undang Mediator dan sistem Mahkamah Internet.
“Kedua-dua pihak turut mencadangkan penubuhan platform serantau seperti Asean-China Grassroots Social Cohesion Forum yang berperanan sebagai wadah perkongsian amalan terbaik dalam mengukuhkan kohesi sosial di peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan.
Dalam usaha meningkatkan keupayaan pemantauan dan respons terhadap cabaran perpaduan, KPN dan NEAC turut membincangkan pembangunan sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan corak konflik mikro dalam komuniti serta mempertingkatkan tindakan pencegahan secara proaktif.
“Tambahan pula, kerjasama turut dirancang dalam pelaksanaan projek pemeliharaan warisan digital melalui penggunaan teknologi imersif seperti realiti maya, realiti terimbuh dan holografi.”
Terdahulu, Aaron dan Duan menghadiri majlis makan malam anjuran KPN sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen NEAC dalam memperkukuh keharmonian serta mempromosi perpaduan masyarakat.
“KPN berharap hubungan dua hala sedia terjalin antara KPN dan NEAC dapat terus diperkukuh selaras visi Malaysia Madani yang menekankan nilai perpaduan, keterangkuman serta penghormatan terhadap kepelbagaian budaya dan etnik dalam masyarakat.”