
Adun Kota Kemuning S Preakas berkata penjelasan itu bagi memastikan mangsa mendapat keadilan sewajarnya serta mengelakkan isu itu dimanipulasi untuk kepentingan politik pihak tertentu.

Preakas berkata beliau bercadang meminta penjelasan berkait hasil siasatan forensik dan cadangan tambah baik bagi mengelakkan kejadian serupa berulang, selain aspek bantuan kepada mangsa.
“Laporan tidak menjelaskan punca sebenar pergerakan tanah dan takungan air. Siapa yang gagal memantau?
“Mengapa aduan penduduk serta bukti bergambar kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada Disember 2023 tidak diberi perhatian?,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Ketua Pembangkang DUN Selangor Azmin Ali berkata Adun PN akan membangkitkan isu kebakaran paip gas di Putra Heights dengan mndawa laporan dikeluarkan tidak menjawab semua persoalan termasuk maklumat terperinci mengenai pemantauan dan kerja-kerja penyelenggaraan berkala.

Rakan Preakas dari blok kerajaan, Adun Seri Serdang Abbas Azmi pula secara peribadi turut kurang berpuas hati dengan hasil siasatan, namun menghormati keputusan itu kerana pasukan penyiasat telah melakukan terbaik.
Beliau bagaimanapun berkata tiada keperluan mengadakan sidang DUN khas seperti digesa pembangkang kerana isu itu boleh dibangkitkan dalam sidang biasa minggu depan.
“Lebih penting usaha kerajaan negeri dan pusat memulihkan kehidupan mangsa. Cukuplah kita berpolitik dan jadikan ia polemik,” katanya.
Insiden pada 1 April lalu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40%, 81 separa musnah, 57 terkesan, tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.
Menteri Besar Amirudin Shari memaklumkan pasukan penyiasat menyimpulkan faktor persekitaran di bawah permukaan tanah merupakan punca utama paip tersebut gagal, dan pergeseran logam paip gas kemudian mencetuskan api yang meledak pada jam 8:08 pagi 1 April.
Faktor persekitaran itu termasuk keadaan tanah yang kurang stabil, pengumpulan air bawah tanah dalam tempoh masa panjang yang menyebabkan tanah kawasan semakin lembut, struktur saliran monsun dan ‘culvert’ yang terkesan akibat keadaan tanah, serta tekanan iklim dan kepadatan kawasan penduduk.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan tiada sebarang unsur khianat, sabotaj atau kecuaian dikenal pasti yang boleh menyebabkan kerosakan pada paip gas sehingga mencetuskan letupan.