Ura-ura Hadi akan berundur dorong pencalonan Amar, kata penganalisis

Ura-ura Hadi akan berundur dorong pencalonan Amar, kata penganalisis

Mazlan Ali dan Azmi Hassan kata usaha letak Amar Abdullah di kedudukan nombor dua PAS ekoran ura-ura Hadi Awang tidak pertahan jawatan presiden.

Jumlah pencalonan yang akan diterima Amar Abdullah bergantung pada sama ada Hadi Awang kekal atau berehat, kata penganalisis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pencalonan Amar Abdullah bagi jawatan timbalan presiden PAS mungkin berkait dengan suatu gerakan yang mahu memposisikan beliau sebagai orang nombor dua parti selepas Tuan Ibrahim Tuan Man, kata penganalisis.

Mazlan Ali dan Azmi Hassan senada usaha meletakkan Amar pada kedudukan lebih tinggi susulan kemungkinan Tuan Ibrahim akan diberi peranan mengemudi PAS pada pemilihan September ini, di sebalik ura-ura Hadi Awang tidak akan pertahan jawatan presiden.

“Adanya pencalonan untuk jawatan timbalan presiden kerana ada pemikiran bahawa Hadi akan berundur,” kata Azmi dari Akademi Nusantara.

Sebelum ini, media melaporkan Amar yang ketika ini naib presiden dicalonkan bagi jawatan timbalan presiden. Cadangan itu dibawa Ketua Penerangan Pemuda PAS Pengkalan Chepa, Mohamad Sazwan Mohd Sakri, dan disokong seluruh perwakilan sayap.

Namun, Amar berkata beliau akan membuat keputusan berhubung pencalonan itu selepas menerima pemakluman daripada jawatankuasa pemilihan pusat.

Menurutnya, jawatankuasa terbabit akan membincangkan setiap cadangan daripada mesyuarat di seluruh kawasan sama ada calon berkenaan mempunyai cukup pencalonan untuk bertanding ke jawatan tertentu.

Mazlan dari Universiti Teknologi Malaysia tidak menolak kebarangkalian kerusi timbalan presiden bakal menyaksikan pertembungan beberapa penjuru, dengan kemungkinan dua penyandang naib presiden, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Idris Ahmad, dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dicalonkan.

“Sebab dalam PAS, secara tradisi timbalan presiden adalah orang profesional,” katanya.

Kali terakhir jawatan itu dipertandingkan pada pemilihan 2015, menyaksikan Tuan Ibrahim menewaskan penyandang Mohamad Sabu, yang selepas itu menubuhkan Amanah.

Mohamad menggalas jawatan tersebut dari 2011, menggantikan Nasharudin Mat Isa, seorang ahli akademik.

Dalam pada itu, Azmi berpandangan jumlah pencalonan yang akan diterima Amar bergantung pada sama ada Hadi kekal atau berehat.

“Kalau status quonya sama seperti ketika ini iaitu Hadi presiden, Tuan Ibrahim timbalan presiden sukar untuk mendapatkan pencalonan yang cukup kerana akar umbi tak mahu perpecahan berlaku seperti PKR dan PAS pada 2015,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.