Suaram gesa kerajaan perjelas moratorium Akta Perhimpunan Aman

Suaram gesa kerajaan perjelas moratorium Akta Perhimpunan Aman

Pengarah eksekutif NGO itu berkata, masih belum jelas sama ada pengumuman menteri dalam negeri semalam tanda anjakan dasar.

lawan rasuah
Menurut Suaram, penguatkuasaan Seksyen 9(5) dan 11 Akta Perhimpunan Aman yang seiring selama ini mengukuhkan budaya anggap perhimpunan aman sebagai keistimewaan bergantung pada kelulusan, bukan hak perlembagaan.
PETALING JAYA:
Sebuah NGO menggesa kerajaan menjelaskan sifat moratorium ke atas prosiding undang-undang bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012, memberi amaran bahawa kesamaran mengenai perkara itu boleh menjejaskan usaha reformasi yang sedang berjalan.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Azura Nasron berkata, kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail semalam mengenai moratorium itu mesti dijelaskan.

“Masih tidak jelas sama ada ini anjakan dasar baharu atau salah nyata keputusan Jemaah Menteri yang hanya tertumpu pada Seksyen 11,” katanya dalam kenyataan.

Pada 13 Feb, Saifuddin berkata, kerajaan akan melaksanakan moratorium ke atas Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman, yang mewajibkan penganjur mendapatkan kebenaran pemilik atau penghuni sesebuah premis sebelum mengadakan perhimpunan di lokasi tersebut.

Katanya, langkah ini diambil memandangkan kerajaan bercadang meminda seksyen itu.

“Ini bermakna tiada tindakan akan diambil terhadap penganjur mana-mana perhimpunan sehingga pindaan diluluskan (di Dewan Rakyat),” katanya.

Saifuddin berkata semalam, pindaan Seksyen 11 akan dibentangkan dalam mesyuarat Parlimen akan datang.

Katanya, kementeriannya juga akan meneliti keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Seksyen 9(5), yang menjenayahkan kegagalan memberi notis kepada polis lima hari sebelum mengadakan perhimpunan aman, bercanggah dengan Perlembagaan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga telah menguatkuasakan moratorium ke atas sebarang prosiding undang-undang di bawah Seksyen 9(5) sebagai sebahagian agenda reformasi undang-undang.

Azura berkata, moratorium itu mesti diumumkan secara terang-terangan dan dikuatkuasakan sepenuhnya ke atas semua siasatan dan pendakwaan yang sedang berjalan sehingga perundangan terbabit dimansuhkan.

Kerajaan tidak boleh melepaskan peluang penting ini untuk melaksanakan ‘reformasi komprehensif undang-undang berkaitan hak berhimpun’ yang dijanjikannya, katanya.

Beliau juga menggesa kerajaan agar memansuhkan Seksyen 9(5), berunding dengan masyarakat awam mengenai pindaan itu dan mengkaji semula peruntukan sekatan lain seperti had umur mengikut Seksyen 4(d) yang melarang individu bawah usia 21 tahun menganjurkan perhimpunan.

“Walaupun langkah meminda Seksyen 11 perlu, ia tidak boleh mengalih perhatian daripada keperluan mendesak agar Seksyen 9(5) dimansuhkan sepenuhnya,” katanya.

“Seksyen 9(5) dan 11 telah lama berkuat kuasa seiringan, mengukuhkan budaya yang berpaksikan kelulusan, dengan perhimpunan aman dianggap sebagai keistimewaan bergantung pada kelulusan, bukannya sebagai hak perlembagaan yang tidak boleh disangkal.

“Tindakan meminda satu seksyen tanpa memansuhkan yang lain menyebabkan rangka kerja perundangan dasar kekal cacat pada asasnya dan menjejaskan pembangunan budaya yang berlandaskan anggapan bahawa perhimpunan aman sah di sisi undang-undang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.