PN tuntut butir pembangunan Ambalat, dokumen Triti Sulawesi dibahas

PN tuntut butir pembangunan Ambalat, dokumen Triti Sulawesi dibahas

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata rakyat berhak tahu kedudukan sebenar isu itu.

Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin menegaskan segenap inci wilayah negara khususnya kawasan maritim strategik di blok Ambalat yang kaya simpanan minyak serta gas asli wajib dipertahan.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) menuntut butir mengenai pembangunan bersama di Ambalat dan dokumen Triti Sulawesi dibahaskan di Parlimen.

Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, berkata rakyat berhak tahu kedudukan sebenar isu itu terutama susulan pengumuman pembangunan bersama Ambalat, dilaporkan media selepas pertemuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto, minggu lalu.

Timbalan pengerusi PN berkata, kedaulatan dan kepentingan Malaysia ke atas segenap inci wilayah negara khususnya di kawasan maritim strategik di blok Ambalat yang kaya dengan simpanan minyak serta gas asli wajib dipertahankan.

“Langkah membuat pembangunan bersama (joint development) secara tergesa-gesa, ketika wilayah kedaulatan maritim negara dituntut negara luar boleh menjerumuskan kepentingan nasional dalam keadaan samar.

“Lebih menimbulkan persoalan, pengumuman pembangunan bersama di Ambalat ini dilihat berbeza dengan beberapa siri jawapan perdana menteri termasuk ketika isu mengenai Triti Sulawesi dan Ambalat dibangkitkan di Parlimen,” katanya dalam kenyataan.

“Sehubungan itu, PN tuntut butir pembangunan bersama di Ambalat dan dokumen Triti Sulawesi dibahaskan di Parlimen kerana rakyat berhak tahu kedudukan sebenar isu ini.”

Mesyuarat kedua Parlimen akan bersidang mulai 21 Julai hingga 28 Ogos.

Jumaat lalu, Bernama melaporkan Anwar dan Prabowo menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk mempercepat kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan bersama di wilayah sempadan maritim Malaysia dan Indonesia di Ambalat secara damai serta saling menguntungkan.

Anwar dilaporkan berkata, kedua-dua negara harus mempertimbangkan kerjasama ekonomi termasuk di kawasan sempadan maritim yang memberi manfaat kepada rakyat.

Pada 19 Sept 2023, Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin berkata dokumen Triti Laut Sulawesi ditandatangani Malaysia dan Indonesia belum boleh dikongsi kepada umum disebabkan proses ratifikasi yang berbeza oleh kedua-dua negara.

Beliau turut menegaskan, kawasan atau persempadanan maritim yang dipersetujui dalam Triti Laut Sulawesi tidak langsung melibatkan kawasan disebut sebagai Ambalat.

Menurutnya, Triti Laut Sulawesi ditandatangani pada 8 Jun 2023 tidak membabitkan persempadanan maritim di zon ekonomi eksklusif (ZEE) dan pelantar benua antara Malaysia dan Indonesia yang terletaknya kawasan dirujuk Indonesia sebagai Ambalat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.