Pemangku presiden PBS nafi dakwaan terlibat rasuah perlombongan

Pemangku presiden PBS nafi dakwaan terlibat rasuah perlombongan

Joachim Gunsalam berkata laporan membabitkan dirinya adalah 'tidak bertanggungjawab dan berniat jahat' dan bertujuan mencemarkan nama baiknya.

Joachim Gunsalam
Pemangku presiden PBS Joachim Gunsalam menggesa ahli dan penyokong parti supaya kekal tenang, bersatu padu dan fokus. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Joachim Gunsalam menafikan dakwaan mengaitkan beliau dalam skandal perlombongan di negeri itu.

Ia susulan laporan Malaysiakini Sabtu lalu apabila sumber menamakan enam wakil rakyat yang dikatakan terlibat dalam skandal itu, termasuk pemimpin tertinggi PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), kedua-duanya sebahagian daripada pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dalam catatan Facebook, Joachim menyifatkan laporan itu sebagai ‘sangat tidak bertanggungjawab dan berniat jahat’, dengan mengatakan ia bertujuan untuk mencemarkan nama baiknya.

“Saya menafikan dengan tegas dakwaan yang membabitkan saya dalam skandal rasuah yang dikatakan melibatkan lesen perlombongan mineral Sabah seperti yang dilaporkan dalam portal berita Malaysiakini,” katanya.

Tambahnya, beliau tidak akan terganggu dengan cubaan memburuk-burukkannya tetapi akan terus komited menjalankan tanggungjawab sebagai Adun Kundasang dan menteri negeri.

Joachim juga menggesa ahli dan penyokong PBS untuk kekal tenang, bersatu padu, dan fokus, berkata beliau akan menghadapi situasi itu dengan hati nurani yang bersih.

“Mari kita terus bekerja keras untuk rakyat. Masih banyak yang perlu dilakukan. Kita perlu terus mendengar, mencari apa yang boleh diperbaiki, dan melakukan yang terbaik untuk membawa pembangunan di negeri tercinta ini,” katanya.

Dalam laporan Malaysiakini, sumber itu mendakwa Joachim menerima rasuah RM600,000.

Portal berita itu kemudian melaporkannya sebagai berkata: “Biar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan tugasnya.”

Pada Isnin, Timbalan Presiden PBS Jahid Jahim turut menafikan dakwaan berdasarkan laporan sama bahawa beliau telah menerima rasuah RM150,000 dalam skandal perlombongan.

Sementara itu, Presiden STAR Jeffrey Kitingan pada Ahad menafikan dakwaan dalam laporan bahawa beliau telah menerima RM1.78 juta berhubung skandal itu, dengan berkata ia tidak berasas dan tindakan politik yang bertujuan memburukkan kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.