
Ini susulan langkah peluasan cukai perkhidmatan 6% yang dikenakan ke atas pendidikan prasekolah, taska dan tadika swasta dengan yuran pengajian lebih RM60,000 setahun bagi seorang pelajar, bermula semalam.
Naib Pengerusi Persatuan Tadika Malaysia, Elvis Gan Kah Keng, yang mewakili hampir 3,000 ahli berkata, cadangan itu selepas mengambil kira kesan tidak langsung seperti peningkatan kos operasi atau persepsi ibu bapa terhadap kenaikan yuran yang mungkin didepani pengusaha terbabit.
“Sebagai pengusaha dan ahli persatuan, saya percaya bahawa kebanyakan tadika di Malaysia ini masih berada dalam kategori yuran sederhana malah tidak terjejas secara langsung oleh cukai ini. Namun, kami tetap prihatin terhadap kesan tidak langsung.
“Kami sentiasa menyokong dasar kerajaan yang menyumbang kepada pembangunan pendidikan awal kanak-kanak yang mampan, tetapi pendekatan ini perlu disusuli inisiatif bantuan yang mampu menyokong pertumbuhan industri,” katanya kepada FMT.
Tambahnya, skim sokongan seperti geran latihan guru, potongan cukai berganda untuk bahan pendidikan atau subsidi sewaan premis boleh diberikan bagi meringankan kos operasi, pada masa sama turut dapat menjamin kualiti pendidikan dikekalkan.
“Selain itu, bantuan bersasar untuk ibu bapa khususnya dari B40 dan M40 agar mereka tidak terbeban jika terdapat peningkatan kos di peringkat pengusaha elit yang akhirnya memberi kesan umum terhadap persepsi yuran pendidikan awal,” katanya.
Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri dilaporkan berkata peluasan cukai perkhidmatan tidak memberi kesan ketara kepada ibu bapa yang menghantar anak ke institusi pendidikan awal swasta.
Katanya, orang ramai tidak perlu gusar memandangkan setakat ini kebanyakan institusi tidak mengenakan caj setinggi itu.