Tiada rasa kesal sepanjang jawat ketua hakim negara, kata Tengku Maimun

Tiada rasa kesal sepanjang jawat ketua hakim negara, kata Tengku Maimun

Tengku Maimun Tuan Mat berkata enam tahun berkhidmat sebagai ketua hakim negara lebih penting daripada lanjutan enam bulan perkhidmatan.

Tengku Maimun
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat capai umur persaraan wajib 66 tahun pada esok. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Ketua Hakim Negara yang bakal bersara, Tengku Maimun Tuan Mat berkata beliau tiada rasa kesal sepanjang berkhidmat dalam jawatan tersebut dan tidak berasa sedih kerana kontraknya tidak disambung.

Bercakap kepada media di lobi utama Istana Kehakiman pada hari terakhirnya hari ini, Tengku Maimun berkata adalah satu keistimewaan dan penghormatan besar untuk dirinya apabila berkhidmat sebagai ketua hakim negara ke-16.

“Tiada rasa sesal. Hanya kerana saya tidak dilanjutkan perkhidmatan untuk tempoh enam bulan, tidak menjadi isu buat saya. Tiada isu langsung. Enam bulan tidak penting berbanding enam tahun,” katanya.

Tengku Maimun mencapai umur persaraan wajib 66 tahun esok, dan hari ini merupakan hari terakhir beliau dalam jawatan.

Beliau menjadi wanita pertama menerajui badan kehakiman negara apabila dilantik sebagai ketua hakim negara pada 2019.

Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim yang dijangka menggantikan beliau pula akan bersara hanya sehari kemudian, manakala Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan akan bersara pada Ogos.

Persaraan mereka telah menjadi tumpuan perbincangan hangat sejak kebelakangan ini, dengan Majlis Peguam semalam menyatakan bahawa mereka amat bimbang dengan ketiadaan pengumuman rasmi mengenai pengganti Tengku Maimun.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga berkata bahawa penyambungan tempoh perkhidmatan hakim kanan mesti mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Anwar berkata usaha yang kelihatan menekan kerajaan sama ada untuk menyambung atau menamatkan tempoh perkhidmatan tertentu boleh mempolitikkan institusi yang sepatutnya kekal bebas.

Sementara itu, Tengku Maimun berkata beliau berharap penggantinya akan meneruskan legasi beliau.

“Berdasarkan maklum balas yang saya terima daripada orang ramai, terutamanya dalam beberapa bulan terakhir ini, dan ucapan pagi ini daripada para peguam di mahkamah semasa prosiding terakhir saya, saya boleh katakan saya berjaya memulihkan keyakinan awam terhadap badan kehakiman.

“Harapan dan doa saya adalah sesiapa sahaja yang menggantikan saya selepas ini meneruskan legasi sedia ada,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.